RM55 Bilion Pinjaman Mudah Untuk Malaysia Realisasi Projek ECRL

CHINA akan menyediakan RM55 bilion dalam bentuk pinjaman mudah kepada Malaysia bagi rancangan pembinaan Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang dianggarkan menelan kos dengan jumlah yang sama, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Dalam temu bual eksklusif bersama The StarĀ di Beijing pada Isnin, Tiong Lai berkata ini akan menjadi salah satu daripada 16 memorandum persefahaman (moU) kerajaan dengan kerajaan (G2G) untuk ditandatangani apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertemu dengan Perdana Menteri China Li Keqiang yang mengadakan perbincangan dua hala, Selasa.

Selain pembiayaan, kedua-dua negara juga akan menandatangani kontrak kejuruteraan dan pembinaan dalam projek ini.

Ini bermakna China akan menjalankan kerja-kerja kejuruteraan dan reka bentuk ECRL itu secara terperinci, mendapatkan semua peralatan dan bahan-bahan serta menyerahkan kemudahan itu kepada Malaysia.

“Setakat yang saya tahu, ini adalah tawaran terbesar tunggal yang Malaysia akan tandatangani dengan China,” kata Tiong Lai, yang telah bekerja keras untuk mendapatkan pelaburan dari China bagi pelabuhan, penerbangan dan kereta api sejak beliau mengambil alih portfolio pengangkutan pada Jun 2014.

Dalam syarat-syarat pinjaman mudah yang akan diberikan oleh EXIM Bank China, Tiong Lai berkata kadarnya sangat kompetitif dan pembayaran balik adalah lebih 20 tahun.

“Dan dalam tempoh tujuh tahun pertama Malaysia tidak perlu membayar apa-apa, faedah dan pembayaran balik.

“Tetapi bagi kontrak pembinaan yang akan diberikan kepada syarikat milik kerajaan China Construction Communications Company, terdapat syarat-syarat yang menyatakan ia perlu bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan,” katanya.

Pembinaan projek yang memakan masa selama lima tahun itu dijadual bermula tahun depan.

Fasa pertama landasan kereta api 600 kilometer adalah dari Lembah Klang ke Kuantan, kedua dari Kuantan ke Kuala Terengganu, dan ketiga dari Kuala Terengganu ke Kota Baharu dan Tumpat.

Najib dalam membentangkan Bajet 2017 bulan lepas berkata projek itu akan dilancarkan secara berperingkat dan akan menghubungkan bandar-bandar seperti Port Klang, ITT (Terminal Pengangkutan Bersepadu) Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu dan Kota Baru sebelum berakhir di Tumpat.

“Projek kereta api ini akan membawa kepada banyak pembangunan ekonomi ke Pantai Timur (semenanjung). Ia boleh mencungkil banyak potensi,” kata Tiong Lai yang merupakan sebahagian daripada delegasi Malaysia, termasuk menteri-menteri Kabinet lain yang mengiringi Najib dalam lawatan empat hari beliau ke China yang bermula hari ini.

Tiong Lai berkata, China juga telah berjanji untuk memindahkan teknologi kereta api ke Malaysia, dan ini akan membantu Malaysia dalam membangunkan sistem rel, satu cara yang memberikan manfaat kepada pengangkutan awam.

Mengenai lawatan rasmi ketiga Najib ke China, Tiong Lai berkata: “Lawatan perdana menteri bukan sahaja akan mengukuhkan hubungan dua hala tetapi juga meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pusat pertumbuhan dalam Asean.

“Lawatan ini akan menyaksikan banyak ‘kali pertama’ antara Malaysia dan China. Kami akan menandatangani 16 MoU G2G dan lebih daripada 15 Mou perniagaan-ke-perniagaan.

“Akan ada banyak aktiviti ekonomi … Malah, kita kini menikmati hasil hubungan erat dua hala yang dibina oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak.”


Tiong Lai memuji Perdana Menteri kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang juga bapa Najib untuk ‘visi beliau pada tahun 1974 yang memutuskan untuk menjadi negara Asean pertama menjalin hubungan dua hala dengan China’.

“Sekarang anaknya membawa hubungan dua hala ini ke tahap yang baharu,” katanya.

Selain MoU besar ECRL, satu lagi perjanjian dua hala utama akan diberikan kepada aspek pertahanan.

“Kita adalah sebuah negara yang kecil tetapi China memberikan kita banyak bantuan dan sokongan. Ini adalah baik untuk rakyat Malaysia.

“Lawatan oleh PM ini akan menjadi sangat berhasil dan bermanfaat untuk Malaysia,” katanya.

China sering menyatakan penghargaannya kepada Malaysia kerana menjadi negara Asean pertama yang menghulurkan tangannya kepada China apabila rantau ini bimbang dengan komunisme.

Ia juga mengucapkan terima kasih kepada perniagaan orang-orang Cina Malaysia yang melabur di China dan membantu pembangunan ekonomi pada awal 1980an apabila China baru sahaja membuka pintunya kepada dunia.

MSTAR

.