RM5 JUTA UNTUK SYED SADDIQ, BUKTI KEHADIRANNYA DALAM POLITIK DIRASAI

TAWARAN berjumlah RM5 juta yang dikatakan diberikan kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk meninggalkan partinya, Bersatu adalah bukti kepentingan tokoh muda “hijau” itu yang baru lebih kurang dua tahun terlibat dalam politik.

Penganalisis memberitahu The Malaysian Insight yang pihak yang bersedia membayar RM5 juta kepada Syed Saddiq sebagai habuan meninggalkan Bersatu secara tidak langsung membuktikan pemuda berusia 25 tahun itu merupakan ancaman politik yang digeruni.

Syed Saddiq menerajui sayap Pemuda Bersatu atau dikenali sebagai Armada, dan beliau adalah pemimpin paling lantang yang menarik minat dan perhatian kelompok milenia- yang membentuk 30% kumpulan bakal pengundi- kepada Bersatu.

Dianggarkan 55% daripada jumlah keseluruhan 100,000 ahli Bersatu adalah ahli Armada yang berusia 35 tahun dan ke bawah.

Syed Saddiq juga antara pemimpin milenia paling lantang dan dikenali dalam Bersatu serta gabungan pembangkang yang disertai parti itu, Pakatan Harapan (PH).

Beliau muncul buat pertama kali dalam gelanggang politik ketika bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melancarkan Deklarasi Rakyat. Apabila Bersatu dilancarkan setahun lalu, Syed Saddiq menjadi ketua pemuda pertama parti itu.

Penganalisis politik Dr Wong Chin Huat berkata cubaan untuk menyogok Syed Saddiq adalah petanda betapa pentingnya undi milenia dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang yang dijangka pertembungan pelbagai penjuru bakal berlaku di hampir setiap kerusi.

“(Jika) Syed Saddiq keluar (dari Bersatu) ia akan menghilangkan tarikan Bersatu kepada pengundi muda dan juga Melayu Islam yang merupakan tumpuan Bersatu dan Umno.

“Untuk membayar sebanyak itu kepada seseorang hanya supaya dia keluar daripada Bersatu bermakna sesiapa (yang sedia membayar) yang bertindak begitu sebenarnya takut kepada Bersatu,” kata Wong dari Penang Institute.

Jika Syed Saddiq keluar daripada bersatu, ia akan merosakkan parti itu yang baru sahaja menyambut ulang tahun pertamanya bulan lepas, kata Wong.

Bersatu adalah parti orang Melayu dalam PH yang fokus utamanya adalah meraih undi pengundi Melayu Islam luar bandar. Ia diketuai oleh bekas orang kuat Umno, Dr Mahathir, Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir.

Dianggarkan 55% jumlah ahli Bersatu adalah ahli Pemudanya dan tarikan Syed Saddiq kepada milenia diharapkan mampu membawa kejayaan kepada parti itu dan Pakatan Harapan merampas Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2017.
Dianggarkan 55% jumlah ahli Bersatu adalah ahli Pemudanya dan tarikan Syed Saddiq kepada milenia diharapkan mampu membawa kejayaan kepada parti itu dan Pakatan Harapan merampas Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2017.

Dr Mahathir yang kini merupakan pengerusi PH baru-baru ini mengatakan yang Johor, negeri kelahiran dan kubu kuat Umno berkemungkinan besar akan jatuh kepada pembangkang pada PRU14 kerana kehadiran Bersatu di negeri itu yang semakin kukuh.

Bagaimanapun, Bersatu menyaksikan keluarnya beberapa orang pengasas parti seperti Anina Saadudin dan Kamarulazman Habibur Rahmah sejak beberapa bulan lepas disebabkan- yang dakwa mereka- isu kepimpinan.

“Ketika lebih ramai pemimpinnya meninggalkan Bersatu, musuh mereka boleh kata kepada pengundi yang Bersatu sebenarnya tidaklah bersatu sangat tetapi ‘berpecah’,” kata Wong lagi.

“Ini akan menjejaskan imej Bersatu sebagai pilihan yang sesuai untuk orang Melayu Islam.”

Tetapi Umno tidak akan menerima manfaat daripada kemasukan Syed Saddiq ke dalam parti itu kerana pengundi muda akan menolaknya, kata Wong.

“Tidak seperti pemimpin kanan lain, Syed Saddiq tidak akan mampu menarik pengikutnya (golongan milenia) ke dalam Umno, kerana mereka akan melihatnya sebagai pengkhianat.

“Tetapi untuk Umno bayar RM5 juta kepada orang yang berputus asa, itu kos yang besar.”

Semalam, Syed Saddiq mendedahkan yang beliau ditawarkan RM5 juta oleh seorang ahli politik yang juga merupakan ahli perniagaan, tawaran itu didakwa datang daripada seorang setiausaha politik kepada Perdana Menteri Najib Razak.

Tawaran itu dibuat supaya Syed Saddiq meninggalkan Bersatu dan menyambung pengajiannya di Universiti Oxford dengan biasiswa mencecah RM400,000.

Tawaran itu termasuklah wang untuk mewujudkan pusat debat di seluruh negara yang akan diketuainya.

Sebagai sebahagian tawaran itu, beliau juga perlu mengadakan sidang media di Hotel Seri Pan Pacific bersebelahan ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur yang memerlukannya mengecam Dr Mahathir.

Beliau mengadakan sidang media itu seperti yang dijadualkan, tetapi “berpaling tadah” dengan mendedahkan tawaran tersebut.

Pakatan Harapan berharap untuk mengubah trend milenia yang semakin tidak peduli dan percaya kepada ahli politik, dan tokoh seperti Syed Saddiq memainkan peranan penting untuk menerobos masuk ke dalam kelompok ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2017.
Pakatan Harapan berharap untuk mengubah trend milenia yang semakin tidak peduli dan percaya kepada ahli politik, dan tokoh seperti Syed Saddiq memainkan peranan penting untuk menerobos masuk ke dalam kelompok ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2017.

PH menyandarkan harapannya kepada pemimpin seperti Syed Saddiq untuk meraih undi milenia, yang dianggarkan membentuk 25 hingga 30% undi pada PRU14.

Pemimpin PH berharap untuk mengubah trend dalam kalangan milenia yang menurut kajian global secara umumnya semakin tidak peduli dan tidak percaya kepada ahli politik.

Kajian Merdeka Center mendapati 70% orang muda berusia antara 21 sehingga 30 tahun yang dikaji mereka tidak pedulikan isu politik.

Daripada 604 responden, hanya 46 sehingga 64% merupakan pengundi berdaftar.

Penganalisis Hisomuddin Bakar berkata kelompok pengundi itu sangat penting pada PRU14 tetapi masih tidak jelas bagaimana mereka akan mengundi.

“Ini adalah trend seluruh dunia dalam kumpulan umur ini. Mereka anti penguasa tetapi tidak jelas siapa yang akan mereka undi. Sangat sukar untuk ‘baca’ mereka,” kata Hisomuddin dari Ilham Centre.

Dalam konteks Malaysia, Hisomuddin berkata mana-mana gabungan parti yang berjaya menembusi dan menarik undi kumpulan ini akan mempunyai kelebihan dalam pilihan raya umum.

Sehingga hari ini, tiga gabungan politik dijangka bersaing untuk 222 kerusi Parlimen dan dan lebih 500 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU14.

Tiga gabungan itu adalah Barisan Nasional yang diterajui Umno, PH dan Gagasan Sejahtera yang diketuai parti Islam, PAS.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.