RIZAB BANK NEGARA MEROSOT AS$2.4 BILION SETAKAT 30 DIS

Bank Negara berkata rizab kasar antarabangsa berjumlah AS$94 bilion (RM420.60 bilion) setakat 30 Disember, lebih rendah berbanding AS$96.4 bilion (RM431.34) pada 15 Disember.

Ini bermaksud berlaku penurunan sebanyak AS$2.4 bilion (RM10.74 bilion).

Bank pusat itu berkata ia memadai untuk membiayai 8.8 bulan import tertangguh, memetik laporan Reuters.

Sementara itu, Bernama melaporkan, menurut kenyataan Bank Negara Malaysia hari ini, paras rizab berkenaan telah mengambil kira pelarasan membabitkan perubahan penilaian semula pertukaran asing serta turut disokong oleh lebihan akaun semasa dan aliran masuk pelaburan langsung asing.

Bagaimanapun, ia diimbangi oleh pelaburan langsung di luar negara oleh syarikat Malaysia dan aliran keluar semula sebahagian pelaburan portfolio bukan pemastautin selain mencukupi untuk memudahkan urus niaga antarabangsa.

Paras rizab itu juga mencukupi untuk memenuhi obligasi luaran dengan perlindungan rizab kepada hutang luar negara jangka pendek sebanyak 1.3 kali.

Hutang luar negara jangka pendek itu merujuk hutang yang ditakrif semula termasuk pinjaman luar pesisir jangka pendek, pegangan sekuriti hutang jangka pendek dalam ringgit oleh bukan pemastautin, deposit bukan pemastautin dengan sistem perbankan dan hutang jangka pendek lainnya.
Komponen utama rizab antarabangsa itu ialah rizab mata wang asing sebanyak US$87.6 bilion, kedudukan Rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (US$0.8 bilion), Peruntukan Hak Pengeluaran Khas atau SDR (US$1.1 bilion), emas (US$1.4 bilion) dan lain-lain aset rizab (US$3.7 bilion).

Aset bank pusat itu termasuk emas, tukaran asing dan rizab lain antaranya SDR (RM424.155 bilion), kertas Kerajaan Malaysia (RM4.264 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM1.527 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM7.739 bilion), hartanah, tanah dan bangunan (RM2.113 bilion) serta aset-aset lain (RM11.297 bilion).

Liabiliti pula merangkumi modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM144.856 bilion), mata wang dalam edaran (RM97.751 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM170.247 bilion), deposit oleh Kerajaan Persekutuan (RM9.293 bilion), lain-lain deposit (RM331.827 juta), kertas Bank Negara (RM8.602 bilion), peruntukan SDR (RM8.118 bilion) serta liabiliti lain (RM11.798 bilion).

– M’kini

.