‘RIZA TAK TERMASUK DALAM SIASATAN RASUAH’

Tidak ada keperluan bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memanggil Riza Aziz, anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kerana dia tidak termasuk dalam siasatan rasuah, kata seorang timbalan menteri malam tadi.

“Riza memang tidak termasuk dalam siasatan rasuah, jadi tak perlu SPRM nak panggil pun,” Datuk Razali Ibrahim memberitahu Parlimen malam tadi.

“Dia tak masuk dalam ambit siasatan kita. Dia bukan bagi duit kat sesiapa,” kata Razali.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menegaskan demikian ketika menggulung perbahasan bajet 2017, dengan tumpuan kepada SPRM dan Felda.

Apabila Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) bertanya mengenai dakwaan Jabatan Kehakiman (DOJ) bahawa Riza membeli hartanah mewah di luar negara dengan dana 1MDB, Razali menjawab: “Orang duit banyak beli barang apa salahnya”.

Razali juga berkata, SPRM telah bertemu dengan Jho Low, tetapi timbalan menteri itu tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu. Suruhanjaya itu sebelum ini berkata ia telah mengambil kenyataan hartawan itu pada tahun lepas.

Menurut Razali lagi, ia terpulang kepada DOJ untuk membuktikan dakwaan bahawa wang 1MDB telah disalahgunakan.

“Dia (DOJ) kata wang rakyat Malaysia kena ambil. Tapi 1MDB kata duit itu tak hilang. Saya tengah tunggu (untuk tengok) apa yang betul.”

Mengenai sama ada kerajaan akan bertindak sebagai pencelah dalam saman sivil DOJ, Razali berkata beliau tidak pasti tentang itu, tetapi berkata kalau Putrajaya hendak berbuat demikian “ia mesti ada kepentingan” dalam kes itu.

MKINI

.