RINTIHAN SEORANG WANITA ISLAM

Semalam, aku menemani mak ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk pemeriksaan bulanan.

Ketika kami duduk menunggu nombor giliran dipanggil, mak yang bosan menunggu sejak pagi mula bersembang dengan seorang wanita berpangkat ‘mak cik’ yang duduk di depan kami.

“Dah lama tunggu?” mak bertanya membuka bicara.

“Lama juga,” balasnya.

Kedua-duanya tersenyum.

“Kak sakit apa?” tanya mak cik itu kepada mak.

“Tak sakit, check-up bulanan saja,” jawab mak. Mak pun bertanya soalan sama.

“Macam-macam,” katanya sambil merenung wajah mak. Lama juga.

“Biasalah, semakin usia meningkat, semakin banyak penyakitnya,” mak bergurau, cuba menceriakan keadaan.

Aku yang duduk di sebelah mak mendengar sahaja perbualan kedua-dua wanita yang sudah menjangkau usia setengah abad itu.

“Kenapa dengan tangan tu?” mak kembali bertanya.

Baru aku sedar seluruh tangan kiri wanita itu – dari bahu hingga ke jari – membengkak, hampir dua kali ganda lebih besar berbanding tangan kanannya.

Cepat-cepat aku tarik lengan baju mak sambil menggelengkan kepala, sebagai isyarat agar dia tidak lagi meneruskan pertanyaan itu. Aku bimbang wanita itu merasa tidak selesa ditanya tentang keadaannya.

“Eh tak mengapa, mak cik tak kisah. Kadang-kadang bila bercerita, lapang sedikit dada,” katanya.

Isteri taat, wanita terseksa

Dia kemudian menceritakan perihal pembedahan bahagian dada yang dijalaninya 13 tahun lalu. Tangan kirinya mula membengkak dua tahun selepas itu.

Menurut doktor, ia berpunca daripada masalah saraf. Dia sendiri kurang jelas untuk menjelaskan secara terperinci.

“Sakit tak bila buat kerja rumah?” tanya mak.

“Biasanya pakai tangan kanan saja. Tangan yang bengkak ini walau bergerak sedikit, ya Allah sakitnya tak tertahan,” jawabnya, sambil mengusap tangan kirinya perlahan-lahan.

“Tapi saya masih boleh tahan sakit yang ini. Sakit di hati ini yang tak tertanggung,” katanya. Nampaknya dia mula membuka kisah yang selama ini tergalas di bahunya.

“Kenapa?” mak bertanya.

Air mata mula keluar daripada kelopak matanya. Mak bingkas bangun dan duduk di sisinya sambil mengusap belakang kenalan baru kami ini.

“Sudah lebih 10 tahun tangan dalam keadaan macam ini, tapi tak pernah saya abaikan tanggungjawab di rumah. Tapi saya sedih sebab suami tak pernah nak faham kepayahan yang terpaksa saya lalui.

“Dulu masa dia kerja, saya masih mampu bertahan sebab dia hanya ada di rumah pada waktu malam.

“Tapi selepas pencen, sepanjang hari saya terpaksa dengar dia berleter, macam saya ini beban baginya. Dia sudah lupa siapa yang bersamanya menguruskan keluarga sepanjang perkahwinan, sampilah anak-anak sudah besar panjang,” katanya. Wajahnya merah.

Cuba menenangkan wanita itu, mak mengajukan beberapa cadangan termasuklah mendapatkan bantuan anak atau saudara-mara. Tetapi, dia berkata dilarang untuk keluar rumah sesuka hati.

Melawat anak atau saudara pun tak dibenarkan. Menurutnya, dia hanya boleh ke hospital atau masjid. Suaminya sering mengingatkan yang isteri yang baik adalah yang akur dengan perintah suami.

“Saya terseksa. Setiap hari saya berdoa agar Allah lembutkan hati suami, tapi tak tahulah makbul atau tidak,” katanya yang masih menahan sebak.

Nasihat yang tak seimbang

“Mak masih fikirkan tentang mak cik tadi?” aku bertanya selepas melihat mak tidak berkata apa-apa sepanjang perjalanan pulang.

Mak melepaskan keluhan. “Kisahnya tadi sebenarnya sudah jadi lumrah. Mak tahu ramai saudara kita yang menerima nasib yang sama.”

“Kebanyakan orang Islam semakin berusia semakin rajin ke masjid, dengar ceramah, tak tinggal sembahyang dan dekatkan diri dengan Allah, tapi…”

“Kalau sudah dekat dengan agama, kenapa boleh layan isteri macam itu?” aku bertanya kembali.

Mak berkata, dalam ceramah yang diikutinya sama ada di masjid, akhbar atau televisyen, isu kerukunan rumah tangga memang menjadi topik tumpuan.

Tetapi, kata mak lagi, apa yang selalu ditekankan biasanya soal tanggungjawab isteri kepada suami.

“Kononnya syurga hanya untuk isteri yang taat kepada suami; malaikat melaknat isteri yang ingkar; dan isteri yang mati dalam keadaan bermasam muka dengan suami akan dimurkai Allah.

“Ustaz sibuk nasihat isteri agar menurut kehendak suami walaupun di atas unta, sambil mengatakan suami berhak memukul isteri yang tidak taat.

“Terlalu sibuk dengan perkara itu sampai soal tanggungjawab suami dan hak isteri sering tercicir,” kata mak.

Aku berkata pasti ada golongan agama yang mengulas dua perkara itu.

“Memang ada, tapi biasanya nasihat mereka sama sahaja – isteri kena bersabar dan berdoa agar pintu hati suami terbuka.”

sama seperti wanita di hospital tadi, bersabar dan berdoa sambil meneruskan hidup yang terseksa.

Hak isteri, tanggungjawab suami

Jika Islam menekankan soal kerukunan rumah tangga, mengapa ustaz dan ustazah kita asyik menekankan soal kewajipan isteri mentaati suami dan melupakan soal suami mentaati isteri?

Wallahua’alam.

Aku bersimpati dengan wanita tadi dan seluruh kaum Hawa yang senasib dengannya. Malangnya agama diperguna untuk menafikan hak kebahagiaan seorang wanita.

Apakah salah jika agamawan turut menggunakan masjid, televisyen dan akhbar untuk mendidik suami agar menghormati dan mengasihi isteri mereka?

Sedang asyik berceramah tentang solat, wuduk, zakat, puasa dan haji, mengapa tidak bicara juga hal kemanusiaan yang dilalui masyarakat kita?

Aku sangat berharap agar ustaz dan ustazah yang semakin dipandang tinggi masyarakat berusaha memahami masalah besar yang dihadapi orang Islam di negara kita pada masa ini – antaranya hubungan, hak dan tanggungjawab suami dan isteri.

Jika ia dapat dilakukan, pastinya ramai isteri yang memendam duka dan menahan luka – seperti wanita di hospital yang aku temui itu – mendapat peluang untuk mengecap kebahagiaan.

FA ABDUL ialah kolumnis Malaysiakini edisi bahasa Inggeris.

– M’kini

.