RINGGIT, MATA WANG ASIA LAIN TERJEJAS TERUK

KUALA LUMPUR – Ringgit mencecah paras terendahnya sejak Januari 1998 dengan kemerosotan teruk yang dialami oleh pelbagai mata wang negara berkembang pesat, susulan pengumuman Amerika Syarikat (AS) untuk terus menaikkan kadar faedahnya sepanjang tahun 2017.
Semasa penutupan hari ini, ringgit berada pada paras RM4.4775 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus mengatasi paras RM4.4770 yang dicatatkan pada September 2015 yang pada waktu itu dianggap paras terendah mata wang Malaysia sejak 1998.

Nasib turut tidak menyebe­lahi beberapa mata wang utama Asia lain seperti dolar Singapura yang menyusut kepada S$1.4481 berbanding dolar AS iaitu kedudukan terburuknya dalam tempoh tujuh tahun. Sementara, yuan China didagangkan pada 6.9493 berbanding dolar iaitu paras terendah sejak Mei 2008.

Jelas Ketua Strategik Pasaran FXTM, Hussein Sayed, langkah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang mengumumkan kenaikan kadar faedah negara itu pada Rabu iaitu kali kedua dalam tempoh sedekad telah menjejaskan pasaran saham, mata wang serta harga komoditi global.

“Pengumuman AS untuk menaikkan kadar faedahnya pada Rabu lalu tidak begitu mengejutkan pasaran kerana ia sudah dijangkakan.

“Namun jangkaan negara itu yang berkemungkinan mahu melakukan tiga kali lagi kenaikan kadar faedah sepanjang 2017 telah mencetuskan reaksi terhadap permintaan dolar dan bon AS,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Hussein lagi, walaupun pelabur berpendapat Rizab Persekutuan AS tidak akan menepati jangkaan untuk melakukan tiga kali lagi kenaikan kadar faedahnya pada tahun depan, namun dengan kehadiran Pre­siden AS baharu, Donald Trump, keadaan mungkin berubah.

AS meletakkan sasaran untuk melakukan lebih banyak kenaikan kadar faedah pada 2017 bersandarkan pengukuhan ekonomi negara itu yang bakal berlaku tahun depan.

Kenaikan kadar faedah oleh AS akan menyebabkan penge­luaran dana dan aset milik pelabur-­pelabur antarabangsa di pasaran ne­gara berkembang maju untuk dipindahkan ke pasaran kewang­an AS, sekali gus me­ningkatkan permintaan dolar.

Penganalisis HLIB Research, Sia Ket Ee berkata, hasrat Rizab Persekutuan itu akan mewujudkan situasi tidak adil yang bakal mengukuhkan dolar AS. Langkah itu akan terus menjejaskan mata wang negara-negara memba­ngun termasuk Malaysia.

Tetapi kata beliau, kejatuhan ringgit mungkin lebih terkawal hasil tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini yang melancarkan inisiatif termasuk memastikan pengeksport menyimpan sehingga 25 peratus daripada hasil perolehan eksport dalam mata wang asing manakala selebihnya dalam ringgit.

“Bagaimanapun kami meramalkan ringgit akan berlegar antara RM4.20 hingga RM4.50 berbanding dolar sehingga akhir tahun ini dan RM4.10 hingga RM4.40 pada tahun 2017,” katanya.

– UTUSAN

.