RINGGIT LEMAH PUNCA TENAGA KERJA ASING LARI, PENYELEWENGAN ANAK SYARIKAT FELDA TURUT MENJADI PUNCA

Tahun ini penanam kelapa sawit tempatan akan menghadapi kekurangan tenaga kerja anggaran sehingga 70 peratus ekoran penuai dari Indonesia tidak lagi berminat dengan nilai ringgit yang lemah.

Hal ini diperakui sendiri oleh Ketua Eksekutif Felda Global Ventures Berhad, Zakaria Arshad yang menyatakan bahawa pengeluaran akan terjejas akibat kekurangan tenaga kerja.

Adakah dengan permasalahan ini akan memberikan tekanan ke atas bekalan dan akan memberi kesan kepada harga sawit kelak?

Kerajaan Umno BN perlu mencari penyelesaian efektif segera untuk mengatasinya. Dengan kebergantungan kepada tenaga kerja asing yang murah adalah langkah yang tidak berdaya maju dalam jangka masa panjang.

Sepatutnya Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu meningkatkan produktiviti melalui teknologi penjimatan tenaga buruh dan bukannya terlalu bergantung kepada tenaga buruh asing yang murah.

Jika di bawah pentadbiran bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad tidak berlaku penyelewengan seperti yang berlaku di Felda Iffco Gida Sanayi, iaitu anak syarikat yang memiliki 50 peratus saham oleh FGV di Turki yang mengalami kerugian saham sebanyak RM57 juta serta membeli hotel mewah sudah tentu Felda dapat menangani permasalahan ini.

Ini belum termasuk lagi laporan Jabatan Audit Negara yang mendedahkan 64 kontrak untuk perolehan ‘light detection and ranging’ (LiDAR) bernilai RM148.42 juta yang ditandatangani tanpa kebenaran sah.

Kini Felda bukan sahaja berhadapan penyelewengan di bawah pentadbiran Isa Samad tetapi termasuk permasalahan seperti gagal merancang penanaman semula yang efektif dan kelemahan pemantauan terhadap prestasi anak syarikat.

Pada 2016, nilai ringgit telah menyusut sebanyak 4.3 peratus berbanding AS. Ringgit yang lemah sememangnya tidak akan menarik pekerja asing untuk bekerja di negara ini.

Apabila nilai ringgit menyusut, sebahagian sektor ekonomi termasuk perladangan akan terjejas.

Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan Umno BN untuk menstabilkan kembali nilai ringgit supaya kembali kukuh?
Onn Abu Bakar
Penyelaras Parlimen Sembrong
Ahli Majlis Pimpinan Wilayah Persekutuan
Parti Keadilan Rakyat