Ridhuan Tee dilarang menulis di akhbar?

Lecturer Ridhuan Tee Abdullah speaks during a special forum in Kuala Lumpur on April 25, 2015. The Malaysian Insider/Najjua Zulkefli

Dua kali tidak muncul dalam kolumnya di sebuah akhbar menimbulkan tanda tanya sama ada pendakwah kontroversi itu tidak lagi dibenarkan menulis.

Hilangnya kolum Ridhuan Tee daripada Sinar Harian pada 12 dan 19 September lalu mendapat perhatian akhbar web Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), melalui lidah pengarangnya “Kata Pedang”.

“Maklumat yang Pedang dapat daripada rakan-rakan wartawan – Ridhuan Tee tidak lagi dibenar menulis artikel dalam akhbar Sinar Harian,” tulis Ismaweb.

Kali terakhir pendakwah bebas dan pengamat politik itu menulis dalam harian itu pada 5 September lalu dengan tajuk “Di mana kekuatan MCA”.

Ismaweb bagaimanapun mendakwa, pihaknya dimaklumkan apa yang berlaku disebabkan larangan pihak atasan universiti tempat beliau mengajar.

“Bukan setakat tidak boleh menulis dalam akhbar atau portal online sahaja, malah beliau dilarang memberi apa-apa komen,” tulisnya.

Ismaweb membuat spekulasi bahawa Ridhuan Tee ‘diharamkan’ menulis apabila mempersoalkan mengenai semangat kemerdekaan dan patriotisme di kalangan atlet sukan yang didakwa lebih banyak mengejar wang dan ganjaran.

Justeru, dakwanya terdapat “tangan-tangan ghaib” yang berusaha untuk menutup mulut Ridhuan Tee dengan memberi tekanan kepada pihak pengurusan universiti tempat beliau mengajar.

“Usaha jahat ini pastinya daripada mereka yang dicop oleh Ridhuan Tee sebagai ‘ultra kiasu’.

“Puak ultra kiasu ini pula bagi Ridhuan Tee bukan sahaja parti rasis dan cauvinis DAP, tetapi juga yang berada dalam MCA, Gerakan dan MIC.

“Hatta, dalam Umno pun wujud ultra kiasu.

Ismaweb bagaimanapun dalam penafiannya berkata Pandangan yang diberikan dalam ruangan “Kata Pedang” tidak mewakili pendirian Isma yang menurutnya sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi Sinar dan universiti terbabit berkaitan dakwaan itu. – M’kini

.