RESORT JAMAL DISITA SEBAB BEROPERASI TANPA LESEN

SABAK BERNAM – Tindakan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menyita Sekin Fisherman Village Hotel & Resort dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan memandangkan resort itu menjalankan aktiviti tanpa lesen.

Yang Dipertuanya, Azlinda Azman berkata, perintah penutupan itu mengikut UUK38 Undang-Undang Kecil Hotel (Majlis Daerah Sabak Bernam) 2013.

Menurut beliau, sebelum ini, MDSB telah beberapa kali mengeluarkan notis tetapi tidak dipatuhi pemilik resort berkenaan.

“Secara pentadbirannya, kita telah mengeluarkan arahan supaya pemilik resort mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mendapatkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) secara sah.

” Kita tidak mempunyai apa-apa masalah kepada mana-mana pihak yang ingin menjalankan perniagaan di daerah Sabak Bernam, malah sangat-sangat digalakkan tetapi hendaklah mengikuti undang-undang dan ikutlah prosedur-prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas Program Hi-Tea bersama Media dan Atlet Sukan Malaysia (Sukma) serta Majlis Apresiasi MDSB di Dewan Seri Bernam, hari ini.

Azlinda berkata, MDSB sebenarnya telah banyak membantu premis itu sejak resort milik Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos beroperasi pada 2011.

“Kita telah bantu banyak premis ini iaitu daripada tak tukar syarat kita bantu kepada bagaimana tukar syarat… daripada kawasan pertanian kepada bangunan perniagaan dan bagaimana nak buat seterusnya tetapi ada syarat yang kita tetapkan, namun sehingga kini tidak dipatuhi,” katanya.

Ditanya tentang dakwaan berhubung campur tangan kerajaan negeri yang mengarahkan MDSB mengambil tindakan penyitaan resort terbabit, Azlinda menafikan perkara itu memandangkan sudah beberapa kali tindakan kompaun diambil terhadap premis berkenaan.

“Secara asasnya, walaupun sudah dinasihatkan tidak beroperasi atas faktor keselamatan, tetapi resort ini tetap beroperasi secara tidak sah.

” Seandainya berlaku sesuatu, kita tidak bertanggungjawab kerana mereka tidak mendapatkan pengesahan daripada arkitek yang berdaftar dan bertauliah,” katanya.

Jelasnya, pihaknya turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM125,000 pada 8 Disember lalu terhadap premis terbabit.

“Mereka sepatutnya menjelaskan kompaun tersebut dalam tempoh dua minggu…kita lihat, salah satu cara untuk kita memastikan keadaan ini tidak berlanjutan adalah dengan penutupan premis,” katanya.

Sementara itu, Jamal dalam kenyataannya sebelum ini menganggap tindakan MDSB menyita resortnya di Sekinchan adalah atas arahan kerajaan negeri yang tidak berpuas hati dengan tindakannya yang memprotes berkaitan isu gangguan bekalan air di negeri ini.

Jamal yang juga Pengerusi Gerakan Baju Merah berkata, perbuatan itu jelas bermotifkan politik semata-mata dan menyifatkan kerajaan negeri menyalahgunakan kuasa mereka untuk melaksanakan tindakan berkenaan.

– Sinar Harian

.