RELA TIGA PENJURU JUGA SUATU BENTUK KERJASAMA

Untuk menafikan kemungkinan wujudnya kerjasama antara Pas dan UMNO berikutan kebersamaan Hadi Awang duduk sepentas, bermesra dan berpimpin tangan dengan Najib Razak dalam program Solidariti Rohingya, Tuan Ibrahim Tuan Man pantas menyifatkan andaian itu sebagai fitnah belaka.
Kata Timbalan Presiden Pas itu, Pas tetap akan bersaing dengan UMNO dan sebarang bentuk kerjasama tidak mungkin berlaku kerana ia melibatkan soal pembahagian kerusi.
UMNO, katanya tidak mungkin mengizinkan kerusi-kerusinya untuk dilepaskan kepada Pas dan begitu juga, Pas pasti tidak akan melepaskan kerusi miliknya kepada UMNO.
Oleh itu, mustahil Pas dan UMNO akan mengadakan kerjasama politik dan adalah suatu bentuk fitnah mereka yang mencanangkan demikian, ujar beliau.
Apa yang mungkin Tuan Ibrahim teralpa ialah kerjasama boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Ia tidak terhad dari segi pembahagian kerusi dan setuju berpakat semata-mata.
Berkeras untuk kekal sendirian dan membiarkan berlakunya pertandingan tiga penjuru juga boleh dianggap suatu bentuk kerjasama yang secara tidak langsung untuk memberi kelebihan kepada UMNO dan BN serta akan menafikan kemenangan pihak lain.
Harus disedari bahawa Najib berbaik dengan Pas bukanlah untuk kepentingan Islam, Melayu, ummah, rakyat atau apa-apa yang lain yang bercirikan kebaikan. Ia hanya bertujuan politik untuk mengekalkan kuasa UMNO dan kedudukannya sebagai Perdana Menteri setelah tembelang skandal 1MDB dan kemasukan wang beribu-ribu juta ke dalam akaun peribadinya terdedah kepada umum dan menjadi bualan seluruh dunia.
Najib tidak mungkin mengenyit mata kepada Pas jika kedudukannya tidak terancam dan kuasanya benar-benar selamat. Pas hanyalah pelampung untuk beliau menyelamatkan dirinya.
Apakah menyelamatkan masa depan Najib yang skandalnya terang lagi nyata merupakan amar makruf nahi mungkar bagi Pas?
Sebagaimana Pas tidak mungkin melepaskan kerusinya kepada UMNO dan UMNO juga pasti tidak akan melepaskan kerusinya kepada Pas, UMNO sebenarnya memang mengharapkan berlakunya pertandingan tiga penjuru.
Sebagaimana UMNO akan menjadi lebih susah jika wujud kerjasama rasmi dengan Pas, Pas juga bakal menghadapi penolakan daripada penyokongnya sendiri kiranya berbuat demikian.
Dengan kelebihan media, penggunaan jentera kerajaan dan wang tanpa sempadan, pertandingan tiga penjuru pasti  lebih memudahkan UMNO untuk mencapai kemenangan.
Dengan itu, sedarkah Pas bahawa pertandingan tiga penjuru turut juga merugikan mereka, walaupun dalam waktu yang sama dapat menunjukkan kepada penyokong di kampung-kampung bahawa mereka kononnya kekal istiqamah dalam perjuangan?
Apakah kemenangan Pas lebih baik atau lebih buruk jika berlaku tiga penjuru? Apa gunanya kekal bersaing dan istiqamah dalam perjuangan jika asyik kalah memanjang?
Bukankah lebih molek jika Pas berunding baik-baik dengan parti-parti pembangkang lain dan bergerak sederap untuk mengalahkan UMNO, seterusnya dapat meletakkan diri sebagai sebahagian daripada kerajaan baru yang menggantikan BN nanti?
Jika benar ingin kekal bersaing,  Pas harus sedar kedudukannya sebagai salah satu parti pembangkang ialah untuk saling bekerjasama dan bukan berlawan sesama sendiri?
Yang menjadi persoalan ialah mengapa Hadi Awang tidak segan mempamerkan kemesraan berlebih-lebihan terhadap Najib, tetapi dalam masa yang sama menunjukkan sikap keras untuk bekerjasama dengan rakan-rakan pembangkang yang bertujuan menyelamatkan negara ini?
Di pihak UMNO, kiranya mereka ikhlas kepada Pas, ia tidak sekadar berbaik dan bekerjasama dalam perkara-perkara tertentu sahaja dan kemudian membiarkan pertandingan tiga penjuru berlaku, sebaliknya mempelawa Pas secara rasmi untuk menyertai BN.
Inilah masanya untuk melupakan soal kerusi dan mengutamakan mengenai soal Islam, Melayu, ummah dan rakyat secara jangka panjang dan melalui hubungan yang berkekalan.
Merelakan pertandingan tiga penjuru hanya menjadikan Pas sebagai perkakas kepada Najib dan UMNO serta pasti mereka tidak dihargai lagi selepas kemenangan sudah berada genggaman.
Bolehkah Pas membayangkan apa nasib mereka selepas pilihanraya nanti, lebih-lebih lagi jika ketika itu UMNO memiliki kerusi yang lebih selesa?
Adakah Pas akan terus digilai, dijemput bersama dalam mana-mana perhimpunan seperti Rohingya dan sebarang usul persendirian di Parlimen akan diberi laluan?

Pilihan di tangan Pas, tetapi merelakan pertandingan tiga penjuru yang kemudian memungkinkan Najib dan UMNO kekal berkuasa serta menyebabkan Pas dilupa dan diabaikan, bukanlah suatu pilihan.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.