RCI TEGUR DAIM NAFI TAHU URUS NIAGA BANK NEGARA

PENAFIAN bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin tentang kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) serta bagaimana urus niaga mata wang asing itu dilakukan mendapat teguran keras daripada pengerusi panel siasatan Mohd Sidek Hassan hari ini.

Daim membantah dakwaan Suruhanjaya Siasatan Diraja itu kononnya beliau tentu tahu tentang urus niaga mata wang asing BNM, dan mempersoalkan logik Mohd Sidek.

Daim yang jadi menteri kewangan antara Julai 1984 hingga Mac 1991 berkata BNM adalah sebuah agensi bebas dan tidak perlu melaporkan kepadanya.

“Saya tidak tahu tentang kerugian RM772.3 juta pada 1988 dan RM2.259 bilion pada 1989 yang dialami oleh BNM akibat urus niaga mata wang asing.

“Saya juga tidak tahu tentang keuntungan RM2.473 bilion pada 1990 yang diperolehi oleh BNM daripada urus niaga mata wang asing,” kata Daim, dalam keterangan bertulis yang kemudian diedarkan kepada media.

Diasak oleh pengerusi RCI itu kenapa beliau tidak tahu apa yang berlaku di bank pusat, Daim berkali-kali menegaskan beliau tidak dimaklumkan mengenainya.

“Kalau saya tahu, tidak mungkin saya membenarkannya berlaku. Saya akan pecat mereka. Tetapi saya tidak tahu. Mesti ada logiklah cara berfikir,” kata Daim, yang memberi keterangan sebagai saksi ke-23.

Sidek kemudian membalas: “Yang tidak logiknya, Tun, ialah semua orang seolah-olahnya tahu tetapi Tun tidak tahu. Dengan hormat, Tun, OSA adalah untuk melindungi maklumat orang yang sepatutnya tahu. Dalam hal ini, Tun sepatutnya tahu.”

Anggota panel lain juga berkata Daim sebagai menteri kewangan pada masa itu, sepatutnya bertanggungjawab untuk mengetahui urus niaga mata wang asing BNM selaras dengan peruntukan undang-undang bank pusat itu.

“Kalau mereka tidak mahu beritahu saya, apa saya boleh buat,” tanya Daim.

Beliau menambah sebagai menteri kewangan, beliau menguruskan banyak hal lain, dan menyebut tentang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Jabatan Kastam Diraja dan Eksais.

Katanya lagi, kerajaan pada masa itu juga ada pegangan dalam 1,200 buah syarikat.

Sidek berkata walaupun beliau tidak mengharapkan menteri kewangan tahu semua hal, sesuatu yang mustahak seperti kerugian urus niaga bank negara yang memberi kesan kepada negara tidak seharusnya terlepas daripada perhatian Daim.

Sidek menambah beliau merasa janggal apabila pengawai peringkat rendah yang lain, misalnya bekas auditor kanan, P. Kanason Pothinker, malah tahu tentang kerugian itu tetapi Daim tidak tahu.

“Dan Tun sebagai menteri yang sungguh baik, tidak tahu. Saya rasa ini janggal. Setuju tidak?” kata Sidek.

“Macam mana saya hendak setuju atau tidak setuju apabila saya tidak dimaklumkan,” jawab Daim.

Dalam keterangan bertulisnya, Daim berkata beliau pertama kali dapat tahu tentang kerugian itu melalui satu laporan BNM bertarikh 18 April 2007.

Beliau juga berkata tidak tahu bahawa BNM terlibat aktif dalam urus niaga mata wang asing pada 1988 sekiranya ada perubahan dasar untuk melakukan urus niaga mata wang asing secara agresif selepas tahun itu.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.