RCI PERLU IKUT PROSEDUR AGAR TIDAK CEMAR IMEJ INSTITUSI DIRAJA

SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) yang ditugaskan menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing (forex) Bank Negara Malaysia (BNM) perlulah mengikut prosedur yang betul untuk memastikan ia tidak “mencemarkan” imej institusi diraja, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri, yang membuat kemunculan mengejut di RCI hari ini, berkata imej institusi diraja menjadi taruhan.

“Ini kerana ia adalah suruhanjaya diraja dan ia melibatkan imej institusi diraja,” kata Dr Mahathir kepada wartawan.

“Ia memberikan gambaran tertentu yang dikaitkan dengan kedudukan raja-raja dan oleh itu suruhanjaya diraja perlulah mematuhi peraturan dan prosedur yang tidak akan menjejaskan imej institusi diraja, khususnya Agong,” katanya.

“Saya rasa suruhanjaya sepatutnya sentiasa mengambil kira mengenai perkara itu dan diharapkan ia tidak akan mencemar imej diraja kerana ia adalah suruhanjaya diraja, bukannya suruhanjaya polis atau sesuatu seperti itu.”

Ketika disoal mengenai pandangan beliau mengenai prosiding itu, Dr Mahathir berkata, “Setakat ini semuanya kelihatan baik-baik saja. Ia seperti mahkamah. Mereka semua bercakap… tetapi kadang-kadang anda tidak boleh mendengar apa yang mereka katakan.”

RCI pagi ini memasuki hari kedua, mendengar keterangan saksi keempat, bekas juruaudit BNM, Wong Yew Sen.

Dr Mahathir yang masuk ke bilik mahkamah untuk menyaksikan sesi pendengaran RCI kira-kira pukul 9 pagi, beredar pada jam 10.20 pagi.

Ditanya sama ada beliau akan memberi keterangan, Dr Mahathir menjawab, “Tidak, tidak, tidak, saya tidak mempunyai sebarang kenyataan untuk dibuat. Kecuali saya ingin tahu apa yang sedang berlaku dan sama ada nama diraja diberikan kepadanya, dicerminkan dalam prosiding itu”.

Dr Mahathir berkata peguamnya ada meminta senarai saksi dan dimaklumkan lebih awal jika beliau akan dipanggil untuk memberikan keterangannya.

“Saya perlu akui banyak juga yang saya tahu. Mungkin penting bagi suruhanjaya itu tahu apa yang saya tahu,” katanya.

Ketika ditanya ada pihak mendakwa kerugiannya mencecah AS$10 bilion, Dr Mahathir berkata: “Ah, tapi ada juga berbilion dolar lain yang dicuri di mana nampaknya ia tidak menarik perhatian yang serius.”

Ketika ditanya mengenai kepungan polis dalam insiden Memali 1985, Dr Mahathir tetap berkata yang bekas timbalan perdana menteri Musa Hitam pada masa itu bertindak sebagai pemangku perdana menteri, dan menegaskan beliau tidak ada dalam negara.

“Saya akan beri maklumat lebih lanjut kerana kebenaran mengenai Memali perlu didedahkan,” katanya.Menjawab soalan mengenai kesihatannya, susulan khabar angin mengatakan beliau ditahan di Unit Rawatan Rapi dua hari lalu, Dr Mahathir berkata: “Adakah anda nampak saya seperti orang baru baik sakit yang sangat serius. Saya okay.”

“Ramai orang berharap saya mati. Kerana saya menyusahkan. Saya membahayakan seluruh negara.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.