RCI FOREX PATUT PANGGIL PAK LAH BERI KETERANGAN, KATA PKR

BEKAS perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi sepatutnya dipanggil sebagai saksi dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) kerana beliau melantik individu bertanggungjawab terhadap forex pada masa itu sebagai menteri kewangan, kata PKR.

Nor Mohamed Yakcop, bekas penolong gabenor BNM itu juga pengurus di Jabatan Perbankan bank pusat itu berhubung urus niaga forex pada 1980-an, dan turut menasihatkan bank berkenaan mengenai forex dari 1991 hingga 1999.

Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata suaminya, Anwar Ibrahim yang juga saksi dalam RCI itu memberi keterangan yang beliau sebagai menteri kewangan pada masa itu, meminta Nor Mohamad untuk meletak jawatan kerana beliau bertanggungjawab terhadap kerugian forex itu.

“Persoalannya di sini, mengapa selepas peletakan jawatan, Abdullah melantik Nor Mohamad selaku menteri kewangan? Siapa yang menerima manfaat daripada pelantikan ini?,” kata Wan Azizah dalam satu kenyataan hari ini.

“Yang paling menghairankan, RCI langsung tidak memanggil Abdullah atau bertanya tentang isu ini.”

Nor Mohamed meletakkan jawatan bersama gabenor Jaffar Hussein pada 1994. Ketika Abdullah dilantik sebagai perdana menteri pada 2003, beliau melantik Nor Mohamed sebagai menteri kewangan kedua, pada tahun berikutnya.

RCI itu ditubuhkan untuk menyiasat sejauh mana kerugian urus niaga forex BNM pada penghujung 1980-an sehingga 1994, sama ada berlaku pelanggaran undang-undang, dan adakah kes itu sengaja ditutup.

Prosiding RCI diadakan selama lapan hari dan mendengar keterangan 25 saksi. Laporan dapatan RCI dijadualkan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober.

Ahli politik pembangkang mendakwa RCI itu ditubuhkan hanya untuk mencemar reputasi bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang kini mengetuai Pakatan Harapan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.