RAZAK BAGINDA DIDAKWA DI PERANCIS

ABDUL Razak Baginda yang pernah jadi penasihat kepada Perdana Menteri Najib Razak didakwa di Perancis berhubung kes penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002, kata sumber kehakiman kepada AFP hari ini.

Razak merupakan penasihat kepada Najib semasa perdana menteri menjawat jawatan menteri pertahanan antara 2000 dan 2008.

Dalam tempoh tersebut, Najib menyelia perjanjian pembelian dua buah kapal selam Scorpene dan sebuah kapal selam jenis Agosta bernilai €1 billion (RM5 bilion) dari unit limbungan kapal DCN Perancis, yang dikaitkan dengan Kumpulan Thales, sebuah syarikat teknologi pertahanan di negara itu.

Siasatan ke atas perjanjian itu dilancarkan pada 2010, susulan aduan yang dikemukakan pertubuhan hak asasi Malaysia, Suaram.

Antara syarat perjanjian itu, DCN bersetuju membayar €30 juta kepada cawangan Thales di Asia, Thales International Asia (Thint Asia).

Siasatan kemudian mendedahkan sebuah lagi syarikat iaitu Terasasi di mana Razak merupakan pemegang saham utamanya, menerima sejumlah wang yang sama yang dibilkan sebagai bayaran perundingan. Agensi penyiasat bagaimanapun percaya wang itu sebagai sogokan.

Razak didakwa di Perancis pada 18 Julai lepas atas tuduhan “bersubahat dengan aktif dan pasif dalam rasuah” dan “penyelewengan harta korporat”, kata sumber kehakiman Perancis.

Empat eksekutif industri pertahanan Perancis setakat ini didakwa sejak siasatan tersebut bermula.Mereka ialah bekas pengerusi DCNI, Philippe Japiot dan Dominique Castellan, serta dua bekas pegawai kanan Thint Asia, Bernard Baiocco dan Jean-Paul Perrier. Kesemua mereka menafikan tuduhan.

Pasukan penyiasat di Perancis juga sedang meneliti dakwaan kononnya €114 juta dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada urus niaga tersebut.
Syarikat tersebut pada masa itu dikawal isteri Razak.

Pembayaran komisyen itu bagaimanapun tidak tertakluk kepada bidang kuasa siasatan mahkamah di Perancis kerana tidak melibatkan syarikat republik tersebut.

Skandal pembelian kapal selam ini timbul pada 2006 selepas seorang wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dikatakan menuntut bayaran upah sebagai penterjemah dalam urusniaga tersebut mati dibunuh dekat Kuala Lumpur.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Oktober 2008 membebaskan Razak tanpa dipanggil membela diri atas tuduhan bersubahat membunuh Altantuya selepas perbicaraan kes selama 151 hari.

– https://www.themalaysianinsight.com

.