RASUAH: CEO GLC BERGELAR DATUK DIDAKWA HARI INI

SHAH ALAM – Seorang bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah agensi bawah kerajaan yang pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi esok atas kesalahan meminta suapan bernilai RM36,000.

Menurut sumber, suspek berusia 62 tahun itu yang baru kembali daripada menjalankan umrah pada awal Januari ini ditahan jam 5.15 petang tadi di kediamannya di Shah Alam.

Suspek, yang bergelar Datuk, dipercayai telah menerima wang suapan tersebut sebagai dorongan untuk membantu mempercepatkan proses bayaran tuntutan sebuah syarikat pemungut hutang berjumlah RM360,009.08 pada 15 Januari 2015.

Wang suapan bernilai RM36,000 tersebut, merupakan 10 peratus daripada hasil kutipan ‘hutang lapuk’ agensi itu bagi November 2014.

Pada 15 Januari 2015, suspek telah ditahan di Kelab Shah Alam, Selangor ketika menerima wang tersebut daripada pemilik syarikat pemungut hutang berkenaan.

Sumber juga berkata, suspek yang memegang jawatan tersebut sejak 2008 hingga 2014 telah melantik syarikat pemungut hutang itu kononnya bagi memungut hutang yang tidak dibayar peminjam lebih dari dua tahun.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, suspek yang dibawa ke Mahkamah Shah Alam untuk dituduh.

– Sinar Harian

.