RASUAH: AMBIL PEDULI AMARAN SULTAN PERAK, KATA DAP

Anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang mahu barisan kabinet yang diterajui oleh Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri mengambil peduli amaran Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengenai gejala rasuah dan pecah amanah di negara ini.

“Kabinet Najib perlu menghentikan semua pertuduhan terhadap pemimpin anti-rasuah seperti Tony Pua, Rafizi Ramli, Datuk Ambiga Sreenevasan, Maria Chin dan Anis Syafiqah Md Yusuf.

“Mereka juga perlu mengambil tindakan segera untuk menamatkan krisis keyakinan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ekoran skandal 1MDB sejajar dengan amaran Majlis Raja dalam kenyataan pada 7 Oktober 2015,” kata beliau yang juga ketua anggota Parlimen DAP itu dalam kenyataan.

Semalam, Sultan Nazrin Shah melahirkan kebimbangan mengenai gejala tersebut yang dilakukan secara terbuka oleh golongan berjawatan dan berpendidikan tinggi.

Baginda bertitah berdasarkan laporan media, perlakuan rasuah dan pecah amanah kini bukan sahaja berlaku secara berleluasa, malah pada skala yang sangat besar.

Titah Sultan Nazrin sejarah menunjukkan perbuatan pecah amanah dan rasuah, penggunaan kuasa secara rakus oleh manusia adalah faktor menyebabkan kejatuhan banyak kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun.
“Dalam sejarah kerajaan Islam, ramai kalangan pemimpin Bani Umaiyah dan Bani Abas lupa kepada amanah Ilahi kerana terlalu asyik menikmati kemewahan dunia, lalu sanggup menggunakan kekayaan untuk mengekalkan kuasa.

“Apabila kuasa dianggap satu peluang memenuhi kepentingan diri dan bukan satu amanah, maka rosaklah tataurusan pemerintahan yang akhirnya berkesudahan dengan kejatuhan sesebuah kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun,” titah baginda.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, sepatutnya amaran Sultan Nazrin Shah itu menjadi peringatan kepada Kabinet, Parlimen dan parti politik pemerintah atas kegagalan untuk menangani isu kritikal ini di Malaysia.

– M’kini

.