RASUAH: AMANAH JOHOR MAHU EXCO DISIASAT

SHAH ALAM – Amanah Johor mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan penyiasatan terperinci termasuk kemungkinan penglibatan Exco Johor dalam kes yang dilaporkan baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan itu perlu dilakukan susulan penahan anak dan pegawai khas kepada exco terbabit.
“Mustahil Exco yang berkenaan tidak menyedari anak lelakinya yang baru berumur 25 tahun hidup secara mewah dan memiliki pelbagai kereta yang bejenama serta wang simpanan  jutaan ringgit.

“Penipuan dalam proses penukaran status rumah bumiputera kepada bukan bumiputera oleh pihak pemaju perumahan adalah merupakan satu kezaliman atau penafian hak khususnya kepada gulungan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40) untuk memilikki rumah pada harga diskaun 15 peratus lebih rendah daripada harga pasaran terutama dalam keadaan harga rumah yang melambung tinggi pada masa ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, SPRM telah menangkap enam individu kerana dipercayai terlibat dalam skandal rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di Johor.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Azam Baki berkata, keenam-enam suspek yang berusia antara 25 dan 50 tahun itu ditangkap di beberapa lokasi di Johor Bahru dalam satu operasi serentak yang dilancarkan oleh SPRM kira-kira jam 8.30 pagi pada 24 Februari 2017.

Turut dirampas adalah 21 kereta mewah, wang tunai RM500 ribu dan 45 akaun dengan jumlah simpanan RM15.5 juta.

Difahamkan, mereka yang ditahan disyaki bersubahat dalam mengurangkan premium tanah yang diluluskan untuk projek-projek perumahan dan perindustrian serta terlibat dalam rasuah dan penyelewengan dalam proses penukaran status rumah bumiputera kepada bukan bumiputera oleh pihak pemaju perumahan.

Sementara itu, Amanah dalam masa sama turut berharap mana-mana pihak tidak mengganggu siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM.

“Mereka yang terlibat dalam skandal rasuah ini telah mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada hasil kerajaan negeri.

“Mereka perlu diseret ke mahkamah untuk menerima hukuman setimpal,” katanya lagi.

– Sinar Harian

.