‘RASA HORMAT PADA DR M WAJAR BERTEMU NOKTAH’

Rasa hormat kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad wajar dihentikan kerana beliau kini menentang Umno, kata Ketua Pemuda Umno Kedah, Saiful Hazizy Zainol Abidin.

“Sentimen dan hormat kita pada Tun M wajar berhenti dan bertemu noktah apabila beliau sanggup bekerjasama dengan musuh politik, khasnya DAP untuk memporak-perandakan Umno.

“Cukup-cukuplah kita bernostalgia. Apa guna ada nostalgia kalau jemput luka,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden dalam Perhimpunan Agung Umno Ke-71 hari ini.

Mahathir (gambar) memutuskan keluar Umno pada Februari tahun lalu sebagai tanda protes terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau kini menjadi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) dan sekutu rapat dengan bekas musuhnya, DAP.

Saiful Hazizy berkata pada mulanya, ramai menyangka BERSATU dan nostalgia terhadap Mahathir akan menjadi batu penghalang bagi Umno Kedah.

Bagaimanapun, beliau berkata dengan komitmen yang diberikan daripada Umno, beliau yakin kemenangan mampu dicapai.

Gagal dapat tempat di Johor

Begitu juga, ketua Wanita Umno bahagian Pagoh, Noriah Mahat yang mendakwa BERSATU gagal mendapat tempat Johor.

Pagoh merupakan kerusi parlimen yang diwakili presiden BERSATU yang juga bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Parti bunga (BERSATU) diasaskan penubuhannya oleh bekas ketua Umno Pagoh dikhabarkan telah menggugat Umno Pagoh.

“Namun sebenarnya tak sama sekali. Parti bunga tak dapat tempat sama sekali, sebaliknya Umno dilihat semakin kukuh dan kuat,” kata Noriah.

Muhyiddin keluar dari Umno selepas beliau dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada bulan Julai 2015.

Turut bersama beliau ialah bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Seperti Muhyiddin, Shafie membentuk partinya sendiri, Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Umno Semporna, Ramlee Marahaban mendakwa Shafie tidak memberi kesan kepada Umno Sabah.

“Sekarang melalak sana sini, menyalak bukit tapi bukit tak runtuh,” katanya.

Laporan tambahan disediakan oleh Alyaa Azhar.

– M’kini

.