RANKING BAKAT DUNIA, MALAYSIA JATUH 7 TEMPAT KE-28

MALAYSIA jatuh tujuh anak tangga kepada kedudukan ke-28 daripada 63 buah negara dalam ranking keupayaan mengekalkan dan menarik pekerja berkemahiran tinggi asing dan tempatan, menurut World Talent Ranking (WTR) 2017 yang baru sahaja diterbitkan oleh Institute for Management Development (IMD), Switzerland.

Kajian itu menilai pelaburan dan pembangunan bakat tempatan setiap negara, tarikannya kepada kolam bakat asing dan kesediaan negara itu dalam aspek kemahiran dan kecekapan kolam bakatnya.

Setiap negara kemudian diberikan mata untuk setiap kategori itu.

Hasil kajian yang dikeluarkan bulan ini menunjukkan Malaysia mendapat mata rendah dalam semua aspek kajian, dan jatuh lapan tangga berbanding tahun sebelumnya dalam aspek tarikan, salah satu kejatuhan paling teruk antara semua negara.

Ini menunjukkan yang persepsi Malaysia sebagai negara pilihan untuk golongan profesional datang bekerja, bakat tempatan atau antarabangsa menurun pada tahun lepas.

“Untuk laporan terbaru ini, kami bimbang dengan skor penghijrahan bakat yang semakin jatuh serta tahap motivasi yang lemah,” kata Arturo Bris, pengarah Pusat Daya Saing Dunia IMD seperti dipetik akhbar New Straits Times.

Jutaan rakyat Malaysia kini tinggal atau bekerja di luar negara menggunakan visa penduduk tetap atau visa pekerja.

Tahun lepas, Menteri Dalam Negeri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatakan sejumlah 54,000 orang sudah membatalkan kewarganegaraan mereka sejak 2010 sehingga 2016.

Menurut TalentCorp, agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan menarik pekerjaan mahir rakyat Malaysia kembali ke negara ini melaporkan hanya terdapat 398 pekerja yang pulang tahun lepas, 55.8% lebih rendah berbanding 900 orang pada 2013, tidak mencapai sasarannya iaitu 800 orang.

Pada 2015 terdapat 616 orang yang pulang, sementara pada 2014, 606 pekerja mahir pulang.

Laporan IMD mengatakan antara alasan yang menyebabkan penghijrahan bakat Malaysia ke luar dan kejatuhan ranking termasuklah harga minyak rendah, eksport rendah ke China dan risiko politik negara yang mewujudkan persepsi negatif.

Dalam kategori tenaga kerja wanita pula, Malaysia turut berada dalam kedudukan rendah, di tempat ke-53 dunia kerana hanya 38.56% tenaga kerjanya adalah wanita.

Prestasi negara dalam kategori gaji dan upah dalam pekerjaan turut lemah, berada pada kedudukan 55 daripada 63 negara dikaji.

Kajian WTR turut mengambil kira aspek pendidikan, kejurulatihan, latihan tempat kerja, kemahiran bahasa, kos sara hidup, kualiti kehidupan, faedah dan kadar cukai setiap negara.

Kejatuhan ranking bakat Malaysia juga selari dengan sebuah lagi laporan, World Competitiveness Yearbook 2017 yang menyaksikan Malaysia jatuh ke tangga 24 daripada 19 sebelum ini.

Persekitaran ekonomi yang bertambah baik mungkin akan mempengaruhi keputusan lebih baik tahun depan, kata Bris.

“Bagaimanapun kami menjangkakan akan perubahan baik dalam sentimen apabila kami menjalankan kajian mendalam seterusnya antara Januari dan April depan,” katanya.

Sementara itu, Singapura dan Hong Kong adalah negara Asia yang mempunyai kedudukan paling baik dalam ranking tahun ini. Singapura berada pada tangga 13, Hong Kong pula 12.

Kedua negara itu adalah negara Asia yang berada pada kedudukan 15 negara teratas ranking dunia itu.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.