‘RAMPAS HAK KAMI KEMUKAKAN HUJAH’

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan penangguhan perbahasan usul yang dibawa oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sesi akan datang hanyalah sebagai permainan drama dengan merampas hak pembangkang mengemukakan pandangan.

“Kami rasakan  ini permainan drama yang agak teruk di mana akhirnya hak kami mengemukakan pandangan dirampas,” katanya.

Khalid berkata, ketika perbahasan usul pembangkang hanya duduk diam tanpa mengganggu Marang (Abdul Hadi) dan Kota Bharu (Datuk Takiyuddin Hassan) membahaskan usul.

“Kami beranggapan bahawa kami juga akan ada peluang berhujah. Oleh kerana itu kami telah duduk dengan diam tanpa ganggu Marang dan Kota Bharu sewaktu mereka membahaskan usul,” katanya.

Menurutnya, ahli Parlimen pembangkang dengar penuh teliti dan tidak mengganggu ketika ada pencelahan daripada  Pas dan Umno kerana tunggu peluang untuk membahas.

“Kami telah melihat penghujahan agak  tempang kerana ianya tidak menjelaskan bagaimana melalui peningkatan hukuman semata-mata maka kedudukan mahkamah syariah itu telah dapat diperkasa dan diperbaiki.

“Oleh kerana itu, kami merasakan amat terkilan kerana tidak diberikan peluang membahas dan berhujah serta mempersoalkan rasionalnya usul yang dikemukakan itu,” katanya lagi.

Malah tegas Khalid lagi, pembangkang tidak mungkin berpeluang untuk membahaskan usul tersebut memandangkan terdapat ura-ura bahawa pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.

“Mereka tidak akan beri kita peluang berhujah, kerana jika diberikan peluang, mereka tahu kesemua pandangan kami (Amanah, PKR, DAP, Bersatu) mempunyai asas yang baik dan kukuh,” katanya.

– SH