‘RAMAI MAHU SAYA MATI’ – TUN M

“Memang ramai yang berharap saya mati,” kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ditanya mengenai pandangannya selepas mesej palsu berkaitan keadaan kesihatannya tersebar bekas perdana menteri itu berkata, beliau kini sihat.

“Adakah kamu nampak saya macam orang baru sembuh daripada penyakit serius?” katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

Menurut Dr Mahathir ramai orang berfikiran begitu – mahu beliau meninggal dunia segera.

“Mereka berharap saya mati sebab saya pengacau dan berbahaya kepada seluruh negara,” katanya.

Pada 22 Ogos lalu sebahagian penyokong pembangkang gempar apabila menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp kononnya Dr Mahathir dikejarkan ke hospital.

Menurut mesej itu, Dr Mahathir terpaksa mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Putrajaya kerana sesak nafas walaupun ketika itu dalam perjalanan untuk menghadiri program parti di Puchong.

Bagaimanapun BERSATU kemudian mengeluarkan kenyataan menafikan mesej tular itu.
Bekas perdana menteri berusia 92 tahun itu kini menjadi pemimpin pembangkang dan sedang berusaha untuk menumbangkan Umno dan sekutunya dari tampuk kuasa.

Dr Mahathir mendakwa Datuk Seri Najib Razak terpalit dengan gejala rasuah, tetapi perdana menteri menafikan dakwaan itu.

Beliau sejak beberapa bulan kebelakangan ini sering membuat penampilan di pentas pembangkang dan dijangka menghadiri forum pelaburan China di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) pada Khamis ini.

– M’kini

.