Ramai layak isi jawatan mursyidul am

KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu mengakui ramai ahli parti itu berkaliber untuk memegang jawatan Mursyidul Am Pas bagi menggantikan kekosongan setelah kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Haron Din, 16 September lalu.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat meminta mana-mana pihak agar tidak usah bimbang mengenai perkara itu, di samping bersetuju dengan kenyataan pemimpin parti sebelum ini bahawa pelantikan tidak perlu dibuat tergesa-gesa.

Beliau berkata, Pas mempunyai ramai pakar agama untuk mengisi jawatan tersebut.

“Tidak perlu tergesa-gesa kerana dalam Pas ini ramai (yang layak). Pas bukan tiada orang tetapi ramai sangat, susah nak pilih,” katanya, di sini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa tiada keperluan mendesak untuk melantik Mursyidul Am Pas menggantikan tempat Haron.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, buat masa ini jawatan itu disandang pemangkunya yang juga Timbalan Mursyidul Am, Datuk Ahmad Yakob.

Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan sebelum ini turut dilaporkan enggan mengambil tempat Haron, sebaliknya ingin kekal dengan jawatannya selaku timbalan mursyidul am.

Mengulas lanjut, Satiful Bahri bersetuju bahawa Ahmad mampu memangku jawatan itu sehinggalah pelantikan baharu dibuat.

“Ahmad bukan tolak. Sebagai timbalan, secara automatik beliau  pemangku.  Beliau juga akan memangku sehingga habis tempohnya dan setahu saya masih ada tempoh berbaki empat tahun sebab jawatan mursyidul am baru sahaja diperbaharui, dan beliau akan menjadi timbalan serta memangku sehingga sampai ke satu masa dibuat pelantikan semula,” katanya.

– Sinar Harian

.