‘RAMAI INGAT SAYA MELAYU’

MELIHAT rupa paras dan namanya, ramai yang menyangka dia berbangsa Melayu sedangkan pada hakikatnya dia berketurunan Orang Asli suku Jakun dan satu-satunya anggota bomba kaum itu  bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan.

Bagi rakan-rakan setugas dan pegawai di balai itu, mereka tahu siapa Marzuki Manan, 29, tetapi bagi yang pertama kali bertemu dan kurang mengenalinya, pertemuan pastinya disusuli sapaan salam,  “Assalamualaikum…”

Berasal dari Kampung Sungai Soi di sini, Marzuki yang sudah lima tahun bertugas sebagai anggota bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan berkata, ramai menyangka dia Melayu dan tidak kurang yang meraguinya bila mengakui sebagai Orang Asli.

“Kadang-kadang untuk memuaskan hati mereka, saya terpaksa mengeluarkan kad pengenalan bagi mengesahkan status keturunan,” katanya.

Bagi bapa kepada seorang anak ini, walaupun bertugas dalam kelompok anggota dan pegawai yang semuanya berbangsa Melayu, dia langsung tidak kekok malah rutin tugasnya berjalan seperti biasa.

“Sebenarnya saya dilahirkan dalam keluarga yang terbuka dan membesar dalam persekitaran kepelbagaian kaum di sini.

“Ibu saya bekerja di sektor kerajaan dan saya juga bersekolah di sekolah biasa dengan kebanyakan kawan berbangsa Melayu,” katanya.

Katanya, sebagai satu-satunya Orang Asli yang bertugas di balai Kuantan, dia tidak pernah didiskriminasi, sebaliknya diterima baik oleh rakan-rakannya.

“Prinsip saya juga mudah, bila kawan-kawan boleh menerima kita seadanya, maka saya juga menghormati budaya dan agama mereka, sebab itu setiap kali bulan puasa, saya juga ‘berpuasa’ sama ada ketika dalam tugas atas di luar.

“Siapa dan apa keturunan saya bukan isu, kerana di sini saya seorang anggota bomba yang sentiasa berkhidmat bila tenaga diperlukan,” katanya.

Menurutnya, dia juga terbuka dalam pergaulan harian dan langsung tidak ambil hati bila ada gurauan rakan-rakan yang mungkin secara tidak sedar menyentuh perkara yang  sensitif.

Marzuki yang diserapkan dalam Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) mengakui sokongan rakan-rakan dan pegawai banyak membantunya dalam tugas sebagai anggota bomba.

Katanya, walaupun berada di Unit PPDA, sebagai anggota bomba, tenaganya diperlukan setiap masa untuk sebarang kes kecemasan sama ada bantuan memadam kebakaran, bantuan mangsa kemalangan, pencarian mangsa lemas dan sebagainya.

“Semua bentuk operasi yang disertai saya anggap perkara biasa walaupun terpaksa berdepan pelbagai risiko dan cabaran cukup hebat.

“Pada saya, sebagai anggota bomba, segala cabaran itu perlu dilalui demi tanggungjawab dan khidmat kita kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Suhaimi Ahmad, 57, berkata, pada awal bertugas selepas ditukarkan ke balai itu, dia sendiri tidak menyangka Marzuki berketurunan Orang Asli.

Katanya, sangkaannya ketika itu Marzuki berbangsa Melayu kerana wajah dan namanya ‘Melayu’.

“Ada anggota bagi tahu dan  betullah, Marzuki Orang Asli tapi , perbezaan kaum  di sini bukan isu, sebaliknya tugas dan tanggungjawab sebagai anggota bomba diutamakan.

“Saya juga menghormatinya kerana boleh menerima persekitaran kerja walaupun dia satu-satunya Orang Asli di sini, malah sentiasa melibatkan diri dalam program yang diadakan,” katanya.

Pandangannya itu disokong rakan setugas, Khairul Afzanizal Abdul Molok, 47, yang mengakui hubungan semua warga balai itu cukup rapat sama ada semasa dalam tugas atau di luar.

“Kami seperti satu keluarga besar di sini malah hubungan erat yang terjalin menjadi satu budaya bagi kami sebagai anggota bomba bukan sahaja di sini tetapi semua balai bomba seluruh negara.

“Kita tidak memandang kaum dan  pegangan agama sebaliknya ‘kesatuan’ yang wujud atas nama bomba,” katanya.

SINAR HARIAN

.