RAMAI CINA TAHU CAKAP BAHASA MELAYU

BAGI kaum Cina yang menerima pendidikan sekolah rendah ataupun menengah, rata-ratanya tahu bercakap bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan kaum Melayu.

Menurut seorang ahli akademik, Dr Yoong Chuan, mungkin sesetengah kaum Cina tidak begitu fasih ketika bertutur dalam bahasa Melayu, terutama golongan tua.

“Bagi golongan tua, kita memahami latar belakang mereka, hanya tahu cakap ‘bahasa pasar’ sahaja.

“Bagaimanapun, mereka tetap boleh berkomunikasi dengan kaum Melayu, dan kaum Melayu faham apa yang ingin disampaikan mereka,” katanya seperti dipetik dalam China Press.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa beliau dukacita masih ada dalam kalangan masyarakat tidak mampu berbahasa Melayu dengan baik, walaupun lahir dan membesar di negara ini.

Kata Ahmad Zahid, ia satu fenomena yang amat memalukan kerana ada warga negara asing seperti pelarian Rohingya mampu berbahasa Melayu dengan baik, walaupun baru empat tahun tinggal di negara ini.

Menurut ahli akademik itu lagi, memang tidak dinafikan dalam kalangan masyarakat Cina secara umumnya, mereka lebih mementingkan bahasa Inggeris dan mengabaikan bahasa Melayu.

“Ini disebabkan tidak ramai berpeluang memasuki universiti awam, dan akhirnya universiti luar negara sebagai ganti. Untuk menuntut di luar negara, mereka perlu mengutamakan bahasa Inggeris sehingga mengabaikan bahasa Melayu.

“Satu lagi faktor ialah tidak ramai kaum Cina yang ingin memohon kerja di sektor awam. Mereka berasakan adalah lebih baik mengutamakan bahasa ibunda sendiri disebabkan agak sukar untuk fasih tiga bahasa dalam satu masa,” jelasnya.

– Sinar Harian

.