RAKYAT PENYELAMAT, BUKAN MAHATHIR

Percayalah, saya bukannya peminat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Masakan tidak, saya dan rakan-rakan unversiti sanggup dubbing semula siri ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam kaset-kaset kesayangan kami dari kumpulan Search, Wings, Scorpion dan Bonjovi.

Kami kemudiannya mengedarkan kepada siswa universiti yang dahagakan semangat ‘the angry young man’ ketika itu.

Kulit depan kaset gambar kumpulan Wings, tapi isi kasetnya berapi-api pidato Anwar mempertahankan semua pertuduhan ke atasnya dan sesekali-dua memaki Dr Mahathir.

Semuanya naik bersemangat!

Menjadi ‘tokan’ mengedar kaset-kaset siri ceramah Anwar di dalam kampus menjadikan kehadiran kami sering ditunggu-tunggu. Senior yang otai pun menjadi sahabat baik.

Dr Mahathir punca segala-galanya

Cakap-cakap dalam unversiti ketika itu hampir kesemuanya berkisar kepada Anwar dan Dr Mahathir. Politik telah menjadi menu baru buat siswa-siswi.

Imej Dr Mahathir tiba-tiba menjadi buruk sekelip mata.

Sampaikan hampir kesemua kejadian malapetaka yang berlaku sehari-hari dipersenda berpunca daripada Dr Mahathir.

Kemalangan dalam kampus, makwe minta clash, motosikal kena curi, banjir kilat, sinki tersumbat, disket assignment tiba-tiba korup, mee kari tak ada taugeh – Dr Mahathirlah puncanya.

Sebagaimana mereka menyalahkan DAP dan Lim Kit Siang hari ini, begitulah Dr Mahathir waktu tu.

Pernah sekali marker pen pensyarah saya tiba-tiba habis dakwat ketika beliau sedang menulis di papan putih. Tidak semena-mena Dr Mahathir jugalah yang beliau persalahkan. Dibuangnya marker pen tu keluar melalui tingkap sambil memaki-hamun Dr Mahathir.

Pendek kata terlalu banyak kecelakaan yang dihambat oleh Dr Mahathir mengelilingi kami saban hari waktu itu. Sehingga hari ini, politik Malaysia masih lagi dibungkus dengan dendam dan amarah kepada beliau.

Apa lagi pilihan kita hari ini?

Tapi apa lagi pilihan yang kita ada hari ini?

Mengekalkan Najib dan BN atau acah-acah mahu memboikot PRU14? Kemudian kita akan kembali kepada kitaran yang sama berpuluh tahun lamanya.

Kita akan berpusing-pusing dalam kitaran tersebut sampailah anak sendiri pun tak boleh masuk universiti, kalau keluar universiti pun tapi tak boleh dapat kerja dan mereka hanya mampu menyewa sepanjang membesarkan anak-anak tanpa mampu untuk membeli rumah sendiri.

BN dan Umno yang dikepalai oleh kawan baik Donald Trump ini semakin hari memaksa kita hidup dan bekerja seperti di negara orang.

Sifir mereka; bukankah membandingkan ekonomi Malaysia dengan ekonomi Sri Lanka akan menjadikan kita lebih bersyukur?

Andai Dr Mahathir itu syaitan yang kita ragui taubatnya, apakah Najib yang masih mahu mengekalkan GST tu, boleh kita percaya?

Silap-silap haribulan, lepas menang nanti, kadar GST akan dinaikkan dan ‘dipulangkan semula kepada rakyat’ dengan silap mata BR1Mnya.

Tak percaya Mahathir, tapi jangan percaya Najib

Dr Mahathir belum tentu boleh dipercayai, tapi dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) kita masih boleh bergantung harap pada Anwar, Mohamad Sabu, Salahudin Ayub, Azmin Ali, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng untuk menyaring apapun agenda peribadinya.

Mereka ini pernah meringkuk terpenjara hanya dengan sebab melawan dan mempertahankan prinsip serta hak-hak rakyat.

Siapa pula dalam BN yang berani melakukannya seperti mereka ini? Mencebik muka kepada Najib pun mereka tak sanggup, inikan pula melawan polisi-polisi mengarutnya itu.

Najib dan gerombolannya sedang membawa Malaysia memikul beban hutang negara yang meningkat tidak terkawal.

Menteri-menteri kabinetnya hanya menjadi orang suruhan yang hanya tunggu diseru untuk memekik melolong membela Najib tanpa terpanggil untuk berfikir sendiri; apakah rakyat tidak punyai cukup maklumat sehingga mempercayai dan menelan semuanya bulat-bulat?

Skandal dan kecuaian polisi BN

Dari skandal mega 1MDB dan yang terbaru apabila Felda yang diasaskan bapanya turut terheret dengan petaka apa yang disebut sebagai kegagalan urus tadbir sehingga terjual hartanah milik mereka depan batang hidung sendiri.

Manakala jika dilihat dari kesan GST ketika membeli barang-barang keperluan harian di pasar raya, kita dapati begitu ramai yang mengeluh. Tidak ada yang terkecuali.

Kalaulah mengeluh itu mendatangkan duit, nescaya ia juga akan dikenakan GST dengan sebab banyaknya yang mengeluh.

Jangankan kedai atau bisnes meniaga sendiri secara kecil-kecilan, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang didirikan kerajaan pun melingkup.

Itu belum masuk lagi bab cubaan nak menyamun duit rakyat yang nak buat umrah.

Selain seperti mahu menutup peluang syarikat-syarikat yang mengusahakan pakej-pakej umrah, sebuah sistem yang dinamakan IMAMS telah pun dibatalkan hanya selepas 24 jam ia diperkenalkan. Ini kerana ia turut mengenakan cukai GST kepada peserta umrah.

Mahathir bukan penyelamat tapi rakyat

Rakyat tidak sepatutnya menerima kesan daripada kecuaian kerajaan seperti ini. Kerajaan BN boleh saja melakukan kecuaian yang serupa dengan lain-lain polisi atau sistem yang akan mereka rancang di masa hadapan jika mereka masih berkuasa.

Dengan sebab itulah, menggembleng semua tenaga termasuklah kudrat Dr Mahathir yang berbaki itu juga adalah sesuatu yang sangat diperlukan sekarang.

Malaysia tidak lagi berada di dalam keadaan ketika mahafiraun itu memerintah lebih 20 tahun yang lalu. Kita di kedudukan yang jauh lebih buruk dan jauh lebih tertekan hari ini.

Ketika itu semua orang marah dengan apa yang Dr Mahathir dan kerajaannya lakukan kepada Anwar, keluarganya dan para pengikutnya.

Namun, di zaman itu tidak ada yang membunuh diri terjun dari jambatan akibat masalah ekonomi dan kedesakan hidup.

Nilai ringgit tidak seteruk hari ini dan Dr Mahathir tidak menerima dana RM2.6 billion yang masuk ke dalam akaunnya sendiri.

Hidup di Malaysia di bawah Najib dan BN menjadikan semua segmen masyarakat dan apa jua bangsa turut merasa peritnya.

Artis dan selebriti tidak punyai banyak pilihan melainkan terpaksa bersuara demi kelangsungan hidup sendiri dan empati akan kesusahan peminat mereka.

Siapa yang berbohong

Terus-menerus membenci Dr Mahathir tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah yang sedang dihadapi hari ini.

Dengan tanpa apa-apa kuasa, orang pencen pula tu, Dr Mahathir boleh jadi berbohong dan mungkin sedang merancang sesuatu untuk agendanya sendiri. Ya, boleh jadi.

Tapi Najiblah yang jelas nyata sedang membohongi kita dan akan terus-meneruskan melakukannya dari corong kuasa yang beliau miliki di Putrajaya.

Bukankah ia jauh lebih merbahaya untuk masa depan negara kita berbanding orang tua pencen seperti Dr Mahathir.

Lalu, apa yang akan kita lakukan? Melawan atau tertawan?

Najib boleh melakukan semahunya kerana sudah tidak ada lagi pemimpin berani yang mampu membantah tindak-tanduknya.

Sedangkan Dr Mahathir jika pun ada niat jahatnya, beliau perlu melakukannya dengan berdepan pelbagai lapisan demi lapisan.

Beliau akan disaring oleh para pemimpin parti-parti komponen dalam HARAPAN yang pernah beliau penjarakan suatu ketika dulu.

Dendam mereka ini tidak sedikit pun menyamai saya yang hanya sekadar mengedar kaset-kaset ceramah Anwar.

Maka risikonya amatlah besar dan Dr Mahathir tidaklah sebodoh itu.

Jika Dr Mahathir menjadi sebab musabab Najib kekal di Putrajaya selepas PRU14, nescaya kita pula akan dikenang oleh anak cucu sebagai mereka yang tidak mahu bersatu hati melawan dan menentang punca kepada segala kerosakan ini.

Kita marahkan Dr Mahathir Mohamad, kita kekalkan Najib Razak pula. Hah eloklah tu!

NOR MISWARY RAMLI Adalah Pengerusi DAP Cawangan USJ, Subang Jaya.

– M’kini

.