RAKYAT MERUNGUT TAPI PAKATAN MASIH BOLEH KALAH DI LUMUT

KAWASAN Parlimen Lumut selama ini adalah kerusi pasti menang bagi Barisan Nasional (BN) sejak diwujudkan pada 1974 sehinggalah bandar tentera laut yang jadi pintu masuk ke Pulau Pangkor itu dirampas oleh PKR pada pilihan raya umum (PRU) 2013.

Bekas laksamana tentera laut, Mohamad Imran Abdul Hamid memenangi kerusi itu pada PRU13 apabila meraih 8,168 undi lebih banyak berbanding penyandang tiga penggal kerusi itu, Kong Cho Ha yang juga ketika itu menteri pengangkutan dan setiausaha agung MCA.

Langkah PKR meletakkan bekas tentera laut sebagai calonnya menjadi dan membantu parti itu menokok hampir 1,200 undi daripada pengundi tentera laut, kata Pengarah Ilham Centre, Hisommudin Bakar kepada The Malaysian Insight.

Kelebihan sentimen pengundi itu bagaimanapun tidak akan ada lagi, kecuali PKR mencalonkan semula Mohamad Imran, tambah beliau, yang membuat kajian lapangan di kawasan Lumut baru-baru ini.

“Saya sedia untuk bertanding. Saya sudah berkhidmat kepada penduduk dengan tekun sepanjang lima tahun lalu. Mereka kenal saya,” kata Mohamad Imran dalam satu pertemuan di pejabatnya di Seri Manjung.

Serabut di Lumut

Tetapi ada yang berserabut bagi pengundi awam di Lumut, yang selama ini sedikit sebanyak bergantung peluang pekerjaan pada industri marin.

Penutupan syarikat besar seperti Sapura Kencana menyebabkan sekurang-kurangnya 3,000 orang hilang pekerjaan.

Noor Mohamad Arif, 30, adalah antara bekas pekerja yang kini menjual teh ais di tepi jalan di Seri Manjung untuk menyara hidup.

Pendapatan isi rumah lulusan sumber manusia dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia itu kurang daripada RM4,000, untuk menampung seorang anak berumur lapan bulan.

Dia masih berharap suatu hari nanti akan dapat kerja pejabat walaupun itu nanti bermakna dia harus menghabiskan waktu kerja yang lebih panjang berbanding sekarang.

“Saya dulu penyokong kuat BN,” kata Mohamad, sebelum menambah hidup bermewah-mewah pemimpin Umno menyebabkan dia kecewa.

Untuk mengurangkan beban tanggungan keluarga, dia membeli di beberapa buah kedai runcit untuk mendapatkan barangan dapur yang murah, termasuk susu tepung dan ayam.

“Kami tak mampu nak beli barang di pasar raya besar macam Tesco atau Aeon,” katanya, yang juga menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Bekas laksamana tentera laut, Mohamad Imran Abdul Hamid bersedia meneruskan khidmatnya jika dicalonkan semula untuk bertanding di kerusi Parlimen Lumut pada PRU14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Februari, 2018.
Bekas laksamana tentera laut, Mohamad Imran Abdul Hamid bersedia meneruskan khidmatnya jika dicalonkan semula untuk bertanding di kerusi Parlimen Lumut pada PRU14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Februari, 2018.

Sentimen sama juga disuarakan oleh Mohamad Imran. Malah Timbalan Ketua Amanah Lumut, Yahaya Mat Nor juga sependapat dengan wakil rakyat itu bahawa kos sara hidup yang meningkat kerana cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta kurangnya peluang pekerjaan untuk anak muda adalah antara rungutan utama penduduk setempat.

Mohamad Imran berkata kerajaan persekutuan dan negeri sepatutnya memberi tumpuan untuk menghidupkan semula industri marin di Lumur bagi menyediakan pekerjaan dan bukannya mencadangkan projek pembangunan yang tidak memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Pengusaha kedai makanan di Sitiawan memberitahu The Malaysian Insight keuntungan mereka merosot sehingga 40%, juga kerana GST. Mereka bertahan dengan untung yang sedikit kerana menaikkan harga bermakna akan menyebabkan jualan berkurangan, apatah lagi orang sudah jarang makan di luar.

Seorang penjual aiskrim yang berniaga di Teluk Batik sejak lebih 16 tahun, yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Pechiata, berkata tiga anaknya yang sudah berkahwin, semuanya berkerja di luar Lumut.

Bekas pemandu bas itu mula-mula menjual ais krim di tepi pantai pada hujung minggu untuk pendapatan tambahan. Sekarang ini, katanya, bisnes sudah tidak rancak, tidak seperti 10 tahun lepas.

“Sekarang cuma masa Tahun Baru Cina saja tempat ini penuh dengan orang,” katanya.

Pak Usup, pengusaha bot dan luncur air di Teluk Batik, menganggarkan perniagaannya merosot lebih kurang 30% sejak GST diperkenalkan, kerana tidak banyak orang sedia membelanjakan duit untuk aktiviti pantai yang disediakan.

Menurut Hisommudin, undi penentu bagi BN dan PH di Lumut ialah pengundi Melayu dan India di atas pagar kerana sentimen pengundi Cina masih kekal dengan pembangkang.

Tinjauannya di lapangan juga mendapati kehilangan pekerjaan dan kos sara hidup yang meningkat adalah rungutan utama masyarakat Melayu dan India.

Kajiannya juga mendedahkan walaupun pengundi Cina tidak lagi begitu marah kepada MCA seperti semasa pilihan raya umum yang lepas, mereka tetap kecewa dengan pemimpin parti setempat yang dikatakan hanya nampak muka dekat-dekat hendak pilihan raya.

Jangkaan di Lumut

Biarpun PKR memecahkan penguasaan BN di Lumut, rundingan pengagihan kerusi Pakatan Harapan (PH) memberikan kerusi itu kepada Amanah, parti serpihan PAS yang hanya ada kekuatan di Pasir Panjang.

Lumut mempunyai tiga kerusi negeri iaitu Sitiawan yang kini diwakili oleh PKR, Pasir Panjang (BN-Umno) dan Pangkor (BN-Umno).

Yahaya Mat Nor, timbalan ketua Amanah Lumut yang mesra dengan panggilan Cikgu Ya, menutup mulut apabila ditanya siapa yang akan dimajukan oleh parti itu bertanding di Lumut. Yahaya sendiri disebut-sebut bakal bertanding di Pasir Panjang.

Bagi BN pula, MCA dijangka akan memajukan Ketua Pemuda MCA Perak, Ting Tai Fook di Lumut. Ting bertanding kerusi Sitiawan pada 2013 dan kalah kepada calon DAP, Ngeh Koo Ham.

Di Pasir Panjang, Hisommudin percaya akan ada pertembungan tiga penjuru antara Amanah, PAS dan Umno. Umno mengalah PAS untuk merampas Pasir Panjang dengan majoriti tipis 304 undi.

Pasir Panjang sebelumnya dimenangi oleh bekas menteri besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin pada 2008.

Penjual aiskrim, Pechiata yang ditemui di Teluk Batik mengakui perniagaannya tidak begitu laris berbanding 10 tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Februari, 2018.
Penjual aiskrim, Pechiata yang ditemui di Teluk Batik mengakui perniagaannya tidak begitu laris berbanding 10 tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 Februari, 2018.

DAP dijangka akan mengekalkan kedudukannya di Sitiawan, sementara Pangkor yang sekarang disandang Menteri Besar Perak, Zambry Abdul Kadir diramal kekal dalam pegangan BN, kata Hisommudin.

Hisommudin juga menarik perhatian walaupun PKR menang lebih banyak undi orang awam di Pangkor pada 2013, ia kalah kerusi negeri kerusi itu kepada Umno apabila lebih tiga perempat daripada hampir 10,000 pengundi tentera laut memilih Zambry, memberikan beliau kemenangan dengan majoriti 5,124 undi.

Selain faktor Amanah yang kini akan bertanding di Lumut, satu lagi cabaran untuk PH mengekalkan kerusi Parlimen itu ialah cadangan persempadanan semula yang diusulkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan mengeluarkan kerusi Sitiawan daripada Lumut.

Persempadanan semula itu akan menukarkan Lumut daripada sebuah kerusi campuran jadi sebuah kerusi majoriti Melayu. Sitiawan akan berpindah ke kawasan Parlimen Beruas, sebuah kerusi yang dimenangi oleh DAP pada 2008 dan dijangka akan kekal dengan parti itu.

Sekiranya cadangan SPR diluluskan di Dewan Rakyat yang akan bersidang bulan depan, PH boleh kalah kerusi itu.

“Tanpa Sitiawan, sangat sukar bagi PH untuk menang,” kata Hisommudin.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.