RAKYAT MEMANG PERIT TANGGUNG KOS SARA HIDUP

Kebanyakan orang awam mengeluh apabila jumlah perbelanjaan yang digunakan untuk membeli barangan seharian semakin meningkat untuk mendapatkan kuantiti yang sama tidak lama dulu.

Alasan yang mudah difikirkan ialah, harga barang semakin meningkat.

Pada masa sama kerajaan menegaskan kadar inflasi negara masih rendah dan ada barangan keperluan mencatatkan penurunan harga.

Malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak suatu ketika dulu menegaskan antara produk yang mencatatkan penurunan harga ialah kangkung.

Isu ini kembali menjadi perhatian menjelang dan ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno ke-71 di Kuala Lumpur pada minggu kedua Disember ini.

Malaysiakini cuba mendapatkan pandangan orang ramai mengenai apa yang sebenarnya dialami mereka.

Secara umumnya peniaga kecilan di ibu kota mengeluh kerana pendapatan mereka berkurang kira-kira 50 peratus dipercayai kesan daripada pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan pada 1 April 2015.

Keluhan itu dapat dirasai semua peniaga barangan runcit, makanan sehingga penyedia perkhidmatan. Bagi mereka GST antara aspek yang wajar dipertimbangkan kerajaan untuk dikurangkan supaya bebanan kos sara hidup dapat dikurangkan.

Tinjauan Malaysiakini mendapati ada antara rakyat di negara ini malah tidak mempunyai simpanan wang untuk kegunaan kecemasan.

Ada antara mereka terpaksa memajakkan telefon bimbit peribadi bagi meminjam wang daripada ‘kedai top up’.

Bagi peniaga kedai telefon di Ampang, Tan Wai Hong, perniagaannya kini berkurangan sebanyak lebih 50 peratus sejak pelaksanaan GST.

Katanya, pelanggannya kini tidak lagi memberi keutamaan menukar telefon bimbit seperti sebelum ini, sebaliknya mengutamakan keperluan asas terlebih dahulu.

“Dulu saya boleh jual antara tiga hingga empat telefon bimbit sehari, tapi sekarang hanya satu. Pelanggan saya pun susah cari wang sebab barang banyak naik harga.

“Dia (pelanggan) pun tak ada wang yang lebih beli telefon bimbit. Telefon bimbit bukan dia beli hari-hari macam makanan.

“Orang tentu lebih pentingkan makanan, bayar bil elektrik, air, sewa rumah kemudian dan baru fikir beli teelfon. Jualan saya turun banyak sebab GST. Stok barang pun mahal. Kita tak boleh jual mahal nanti orang lari,” katanya.

Wang untuk kecemasan

Lelaki berusia 30 tahun itu turut berkongsi cerita bahawa ada antara pelanggan yang dianggap sebagai rakan turut datang ke kedainya untuk memajak telefon bimbit kerana memerlukan wang segera.

“Banyak pelanggan Melayu datang pajak telefon bimbit di sini untuk pinjam duit, misalnya sebab kereta rosak, anak sakit jadi dia terpaksa pajak telefon bimbit.

“Saya fikir, orang macam tu dalam bank memang kosong terus. Banyak macam tu. Orang itu mungkin gaji kurang RM2,000. Ada anak lagi. Setiap bulan pasti ada dalam tiga, empat orang datang pajak.

“Tapi dia pinjam sikit sahaja, dalam RM300 hingga RM400 untuk kecemasan sahaja.

“Saya bagi masa sebulan. Kalau tak bayar, saya akan ambil telefon bimbit dia, tapi biasanya dia datang ambil semula sebelum tempoh tu,” katanya kebiasaannya tiga hingga empat orang akan ke kedainya bagi berbuat demikian.

Bagi peniaga pisang goreng di Cheras yang mahu dikenali sebagai Pijat, 40, sejak GST diperkenalkan, pendapatannya merudum kira-kira separuh berbanding dulu.

Katanya, sebelum ini anggaran jualan pisang gorengnya mencecah sehingga 40kg sehari namun kini beliau hanya mampu menjual 15kg saja.

Untuk kos pula, katanya, sebelum ini dia boleh mendapatkan 3kg keju untuk pisang goreng dengan harga RM38, namun kini ia mencecah harga RM51.

“Dulu saya jual pisang goreng keju RM5 tapi sekarang awak rasa-rasa saya nak naikkan berapa?” katanya yang mengakui sudah berhenti menjual pisang goreng keju kerana harga bahan mentah yang meningkat selain pelanggan tidak lagi mahu membelinya.

Selain itu Pijat juga berkata, sebelum GST diperkenalkan dia tidak ada masalah untuk membawa anak-anak berjalan bersama namun kini tidak lagi.

Pelanggan ada merungut

Bapa kepada dua orang anak ini turut terbeban pada hujung tahun kerana musim persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.

“Nak kata sekarang tak susah, macam menipu pula. Dengan kenaikan harga barangan semua ni, tapi sekarang fikir cukup makan pun bolehlah.

“Nak kata macam dulu nak beli baju anak pun tak pening kepala, boleh beli sekali. Sekarang beli ikut giliran supaya ikut kesesuaian bajet, kena cari barang yang murah,” katanya.

Bagi peniaga kedai cuci kereta di Pandan Jaya, Mohd Azwani Abd Hadi, dia terpaksa menaikkan harga upah perkhidmatan kerana kos bahan cucian yang meningkat.

Katanya, sebelum ini dia mengenakan caj RM10 bagi cucian kereta namun kini dinaikkan kepada RM12.

Mengakui menerima rungutan daripada pelanggan tetapnya namun, pengusaha kedai cuci kereta ini tidak ada pilihan lain.

“Dulu tak macam sekarang, barang dah naik, kos sabun lagi. Dulu kita cuci luar dalam RM10 saja, sekarang terpaksa naikkan RM12 itu pun pelanggan merungut.

“Harga saya kena naik sebab saya pakai pekerja tempatan tiga orang, tempat lain murah sebab mungkin mereka pakai pekerja dari luar.

“Kita nak bagi pekerja RM900 pun tak sampai hati. Mereka ada ibu bapa yang nak kena bagi duit,” katanya.

Mohd turut turut berkongsi cerita bahawa anak sulungnya bakal menginjak ke tahun satu, tahun depan.

Puji kerajaan Selangor

Walaupun perbelanjaan sekolah agak tinggi namun dia bersyukur kerana menetap di Selangor dan mendapat pelbagai kemudahan daripada kerajaan negeri.

“Saya duduk di Selangor. Alhamdulillah, masih OK. Air percuma, ada Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), program peduli sihat. Kelebihan yang diberikan sangat bagus. Semasa Umno perintah tak ada pun. Selangor boleh bagi kenapa negeri lain tak boleh bagi,” katanya.

Peniaga air kelapa muda, Wasanta, 52, berkata perniagaan kecil-kecilannya kini sangat terjejas.

“Perniagaan saya teruk sebab bukan orang nak minum air kelapa selalu. Dulu beli barang murah sekarang sangat mahal. Plastik dulu RM4.50 sekarang dah RM5.

“Kalau dulu dapat dalam RM40 sehari sekarang untung RM20 sahaja sehari. Awak tengok kedai saya, kosong – mana ada orang nak beli,” katanya sambil menunjukkan persekitaran yang kosong tanpa pelanggan.

Warga emas yang berniaga di taman Cochrane ini turut berkata dengan kesihatannya yang tidak berapa baik, dia terpaksa keluar mencari rezeki kerana tidak mempunyai simpanan.

“Saya sudah tua dan ada darah tinggi. Saya tak boleh duduk di rumah, kalau duduk rumah, tak ada duit nak makan jadi kena kerja, jual kelapa.

“Doktor pesan jangan kerja, rehat sahaja tapi kalau saya tak kerja mana nak dapat duit,” katanya sayu.

Banyak kos ditanggung

Naib Pengerusi Persatuan Tadika Islam Malaysia, Zaharah Awang, menjelaskan sektor berkenaan turut terjejas dengan jumlah kemasukan pelajar yang secara keseluruhannya menurun.

Aspek pendidikan, katanya, memang sentiasa dipentingkan tetapi keadaan semasa menyebabkan ibu bapa lebih memilih.

“Di tadika kami, memang ada penurunan dari segi jumlah anak-anak yang dihantar.

“Tidak cukup dengan itu, pengusaha tadika juga terpaksa berdepan masalah mengutip yuran bulanan,” katanya.

Lebih malang kata Zaharah (gambar), ada antara pengusaha tadika yang gulung tikar kerana jumlah pelajar yang terlalu sedikit dan tidak dapat menampung kos operasi.

Sebenarnya kata Zaharah, tidak ramai yang tahu keuntungan daripada mengusahakan tadika cuma indah khabar daripada rupa sebab kadar keuntungan terlalu rendah.

“Gaji guru – ikut saranan menteri baru-baru ini – kami diminta bayar minimum RM1,000 kemudian disarankan gaji guru tadika dinaikkan RM1,500.

“Pada ahun 2020 guru tadika kena ada pendidikan awal kanak-kanak.

“Jika kami letakkan yuran RM200 kepada ibu bapa, 10 budak baru RM2,000 sedangkan gaji guru dah RM1,500 dan itu belum masuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta kos-kos tetap lain,” katanya.

Keadaan menjadi lebih menekan apabila tadika swasta tidak mendapat bantuan daripada mana-mana badan berbanding kendalian kerajaan.

“Terus terang, perniagaan setahun tak ada untung sebab duit itu di tangan ibu bapa yang tak bayar yuran lagi,” katanya.

– M’kini

.