RAKYAT MALU DENGAN PEMIMPIN, BUKANNYA NEGARA, KATA PENGGUNA MEDIA SOSIAL

RAKYAT Malaysia malu dengan pemimpin kerajaan, bukannya malu menjadi rakyat di tanah air ini, kata ramai pengguna media sosial.

Semalam Perdana Menteri Najib Razak mengkritik mereka yang tidak bangga menjadi rakyat Malaysia supaya “pi jauh-jauhlah” selain menyifatkan individu yang tidak berbangga sebagai tidak patriotik.

Bagaimanapun pengguna media sosial merasakan pemimpin kerajaan sedia adalah yang patut meninggalkan Malaysia kerana memalukan nama negara di persada antarabangsa.

Pengguna Facebook, Leon Lee menekankan perkara paling memalukan adalah apabila Najib didakwa menerima dana dari Arab Saudi yang disalurkan ke dalam akaun peribadinya.

“Rata-rata rakyat Malaysia berbangga jadi rakyat Malaysia. Yang memalukan kita adalah bila PM sendiri menerima “derma,“ tulisnya, semalam.

Malah, timbul pelbagai desakan menuntut Najib meletakkan jawatan dan meninggalkan negara kerana beliaulah yang bertanggungjawab atas salah laku dalam pentadbirannya sendiri terutamanya berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Satu-satunya orang yang tidak layak bercakap tentang bangga menjadi rakyat Malaysia adalah awak. Awak telah ‘merogol, membunuh dan menyembelih’ negara ini. Awaklah yang patut ditendang keluar dari Malaysia,” tulis Ramesh Murti di Facebook.

Seorang lagi pengguna media sosial, Nurul Jannah memuat naik isu rasuah, kebebasan bersuara dan luahan hati terhadap mereka yang tidak sependapat dengannya.

“Tapi, saya bangga dengan pencapaian negara dan bangga dengan rakyat yang bangkit bersatu melawan rejim yang mengancam, memenjara dan melakukan intimidasi.

“Pemimpin korup patut tinggalkan negara. Malaysia tidak layak untuk awak. Malaysia milik rakyat yang bayar cukai!”

Dalam pada itu, di twitter, beberapa pengguna mengutuk perdana menteri kerana mengeluarkan kenyataan kebudak-budakan sedangkan banyak lagi isu yang perlu dibangkitkan.

“Beginikah kelakuan Perdana Menteri kita sedangkan Malaysia sedang mengalami masalah kehilangan pakar?” tulis Lainie Yeoh (@lainie) di Twitter.

Sementara itu Firdhous berkata beliau telah meninggalkan Malaysia untuk ke Jerman, malah katanya, di rakyat Eropah pun tahu tentang salah laku politikus Malaysia.

“Saya tinggalkan @NajibRazak tetapi saya dapati ramai rakyat di Eropah sekarang ini tidak suka walaupun mereka bukan rakyat Malaysia,” tulisnya.

Malah ketua pemuda Bersatu Syed Saddiq turut mengetengahkan dasar kerajaan yang membebankan rakyat seperti pemansuhan subsidi dan pelaksanaan cukai baharu.

“Saya bangga menjadi rakyat Malaysia tetapi saya malu apabila pemimpin kita mencuri duit, membebankan rakyat dengan penarikan subsidi & mengenakan banyak cukai baru.”

Kenyataan Najib itu merupakan tindak balas terhadap dakwaan oleh timbalan presiden Bersatu Mukhriz Mahathir kononnya tidak berbangga menjadi rakyat Malaysia.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan Mukhriz didakwa berkata beliau lebih rela mengaku sebagai rakyat Brunei ketika berada di luar negara kerana imej Malaysia semakin terjejas di mata dunia.

Bagaimanapun, Mukhriz menyelar laporan itu dan mendakwa ia disalahertikan dan berkata, beliau hanya menyuarakan perasaan rakyat Malaysia secara umum ketika berdepan kritikan masyarakat asing.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, politik Malaysia dibelenggu dengan isu-isu seperti salah urus dana 1MDB, penarikan subsidi dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 2015.

Pada 2016, Jabatan Penghakiman (DoJ) Amerika Syarikat berkata sekitar AS$731 juta dana telah disalurkan ke dalam akaun milik Malaysian Official No. 1 (MO1).

Bagaimanapun DoJ tidak menyebut nama MO1, sebaliknya yang mengaku MO1 itu Najib adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.