‘RAKYAT JOHOR RAMAH-TAMAH BUKAN MARAH-MARAH’

SHAH ALAM – Bulan Ramadan seharusnya menjadi medan kepada semua untuk melakukan amal kebaikan tanpa mengira kaum.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub meluahkan rasa dukacitanya terhadap insiden yang berlaku di sebuah bazar Ramadan di Johor baru-baru ini.

“Sewaktu bulan Ramadan, kita halang mereka edar kurma, bila tiba Hari Raya Cina, mereka masih sudi berkongsi keceriaan perayaan mereka dengan mengedarkan limau tanpa mengira bangsa dan perbezaan.

“Jadi kenapa tidak kongsikan juga keindahan-keindahan Islam ini bersama?” katanya dalam satu kenyataaan.

Sebelum ini pemimpin DAP dihalang oleh petugas bazar Ramadan di bandar Kluang untuk meneruskan pengedaran kurma kepada pengunjung bazar itu di bahagian gerai yang menjual pakaian.

Pengerusi DAP negeri, Liew Chin Tong berkata, beliau bersama Adun Mengkibol, Tan Hong Pin serta Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kluang, Radzali Mohd Noor serta beberapa wakil parti Pakatan Harapan memasuki kawasan bazar itu yang terletak di Jalan Manggis.

Menurutnya, ia sebagai menjayakan satu program iaitu mengedarkan kurma percuma kepada masyarakat Kluang bagi pihak Pakatan Harapan bersempena kedatangan bulan Ramadan.

Bukan sahaja dihalang mengedarkan kurma, mereka turut dilemparkan kata-kata kesat dan cermin mata Chin Tong tercampak di atas jalan raya akibat hayunan tangan salah seorang yang menghalang mereka.

Mengulas lanjut, Salahuddin berharap agar perkara ini tidak berulang di masa hadapan.

“Saya mengharapkan dalam bulan Ramadan  yang penuh barakah ini kita perhebatkan hubungan kita kepada tuhan dan juga hubungan kita sesama manusia.

“Saya percaya kita sebagai rakyat Malaysia yang lebih baik dan lebih bertamadun daripada apa yang berlaku baru-baru ini,” tambahnya lagi.

– SH

.