RAKYAT JOHOR MAHU MB DISIASAT

Ketika anggota exco kerajaan negeri Datuk Abdul Latif Bandi didakwa dengan tuduhan rasuah awal tahun ini berhubung isu tanah, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin nampaknya tidak terjejas.

Semua itu berubah selepas dokumen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bocor minggu lalu dan Khaled ditanya di Dewan Undangan Negeri sekiranya beliau telah menerima sogokan berkaitan kes berkenaan.

Walaupun Khaled menyangkal dakwaan itu di DUN pada Isnin, rata-rata rakyat Johor tanpa mengira fahaman politik berpendapat jalan terbaik adalah pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh terhadap menteri besar berkenaan.

Norzy Norzizi Ali, 60, yang merupakan penyokong kuat Khaled meminta pembangkang mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa untuk memudahkan siasatan.

“Siasat dakwaan itu. Setakat ini, pembangkang hanya membangkang dan buat tuduhan”Buktikan di mahkamah, ini adalah tindakan terbaik,” kata Norzy (foto) ketika ditemui di Muar semalam.

Peniaga itu berkata Khaled telah melakukan banyak perkara kepada Johor dan tuduhan yang ditimbulkan tidak akan menjejaskan reputasi negeri itu.

Kredibiliti dipersoalkan

Sementara itu Rakan Norzy, Mohd Nor Sukiman, 53, tidak berpuas hati dengan prestasi Khaled sebagai menteri besar dan mahu siasatan telus dilakukan.

Nor (gambar) berkata beliau telah mendengar beberapa versi mengenai dakwaan terhadap Khaled sebelum ini. Sekiranya Khaled dibuktikan bersih, maka ia tidak menjadi masalah, katanya.

“Ada yang mengatakan dia menerima RM4.8 juta, ada yang mengatakan RM12 juta, jadi siasat dengan telus,” katanya yang mengaku sebagai anggota PAS.Nor berkata salah satu sebab mengapa beliau kurang percaya kepada kredibiliti Khaled adalah kenyataan yang tidak tepat yang dibuat oleh menteri besar itu mengenai kemiskinan di Johor.

“Dia pernah kata tidak ada orang miskin di Johor, itu tidak betul, dia harus pulang ke kampungnya di Serom, yang juga kampung saya,” katanya.

– M’kini

.