RAKYAT INGIN GST DIKURANGKAN, GAJI LEBIH TINGGI UNTUK BAJET 2018

CUKAI barang dan perkhidmatan (GST) yang rendah, diikuti peningkatan kadar upah, mendahului senarai apa yang rakyat Malaysia inginkan dalam Bajet 2018.

Kurang enam hari lagi, tinjauan pendapat dalam talian bajet2018.najibrazak.com menerima kira-kira 7,500 komen, yang sebahagian besarnya berkisar mengenai kos sara hidup yang tinggi.

Tinjauan pendapat ini diwujudkan bagi rakyat Malaysia untuk memberi maklum balas mengenai cadangan 14 perkara, termasuk kos sara hidup, perumahan dan kehidupan bandar, pengangkutan dan infrastruktur, penjagaan kesihatan, pendidikan, pekerjaan, cukai perniagaan dan kewangan, ekonomi digital dan pembangunan luar bandar.

“Ramai kawan saya menyokong pembangkang kerana mereka mengatakan akan menghapuskan GST di bawah pentadbiran mereka,” kata responden Lim Yee Yean.

“Bagaimanapun, kami menyedari dengan menghapuskan GST, ia akan mengurangkan pendapatan negara. Oleh itu, kami hanya mencadangkan supaya ia dikurangkan kepada 4%,” katanya, sambil menambah langkah itu pastinya akan menggembirakan ramai pengundi.

Haslina juga menggesa Perdana Menteri Najib Razak mengurangkan GST, yang katanya akan membantu mengurangkan beban rakyat yang sedang bergelut untuk menampung kos sara hidup yang tinggi.

“Assalamualaikum YB Datuk Seri Najib Razak, saya minta GST diturunkan untuk mengurangkan beban semua rakyat Malaysia,” katanya.

Perunding akaun Eddie Leng, 42, berkata jika kerajaan tidak akan mengurangkan GST, maka ia perlu menurunkan cukai peribadi.

“Apabila Singapura melaksanakan GST, mereka mengurangkan cukai peribadi. Jadi, mengapa kita tidak boleh melakukannya di sini? Sekiranya mereka menguruskan sumber negara dengan lebih baik, kita tidak perlukan GST.”

Leng juga mengatakan kerajaan perlu membelanjakan wang bagi program kebajikan untuk membantu golongan kurang bernasib baik, dan menghentikan pemberian BR1M.

“Mereka perlu melabur dalam bengkel dan kursus untuk rakyat mempelajari kemahiran supayadapat memperbaiki diri mereka sendiri,” katanya.

Satu komen yang menerima lebih 1,000 tanda suka (like) ditulis oleh Ravidasan, yang meminta elaun lebih tinggi bagi penjawat awam.

“YAB Dato Seri, banyak yang mengakui kos sara hidup telah meningkat.

“Oleh itu, saya menggesa kenaikan elaun untuk penjawat awam bagi menanggung kos tersebut,” katanya.

Richard Samie mahukan peningkatan gaji sebanyak 4% untuk penjawat awam, seiring dengan kadar inflasi semasa serta peningkatan elaun perumahan sebanyak RM100.

“Sewa dan harga rumah mahal. Peningkatan elaun perumahan akan mengurangkan beban penjawat awam.

“Apabila terdapat kenaikan upah, ia juga meningkatkan kuasa beli rakyat.

“Peningkatan perbelanjaan (oleh rakyat) akan menghasilkan lebih banyak pendapatan untuk ekonomi,” katanya.

Seorang pengamal media yang ingin dikenali sebagai Ng berkata, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak peruntukan bagi M40, kategori 40% rakyat kelas pertengahan yang berpendapatan antara RM3,860 dan RM8,319 sebulan.

“Kos hidup semakin meningkat sepanjang yang saya ingat. Ini kerana kadar inflasi semakin meningkat dan sukar untuk bertahan dengan gaji graduan baru yang menerima antara RM2,500 dan RM3,500,” katanya.

“Ekonomi kita mungkin berkembang, tetapi begitu juga harga barang dan perkhidmatan, sementara gaji saya tetap tidak berubah,” katanya.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.