RAJA-RAJA MELAYU AMBIL PERANAN PEMIMPIN KERAJAAN, KATA BEKAS PANEL MKPN

RAJA-RAJA Melayu kini mengisi peranan yang sepatutnya dilakukan para pemimpin kerajaan, mengenai arah yang jelas dalam isu perpaduan dan keharmonian, kata bekas ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN).

Dan ini mengapa rakyat Malaysia perlu memberi perhatian kepada gesaan Raja-Raja Melayu untuk mempromosikan kesederhanaan.

Bekas anggota panel majlis itu berkata, kenyataan Raja-Raja Melayu, yang mendukung keputusan Sultan Johor dan Raja Muda Perlis untuk mengharamkan “dobi untuk Islam sahaja” di negeri masing-masing, menunjukkan pentingnya mengamalkan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Bekas anggota MKPN, Marina Mahathir berkata, ia adalah satu langkah yang sangat bagus bagi Majlis Raja-Raja Melayu mengeluarkan kenyataan dan menjelaskan pendirian mereka tentang Perlembagaan dan Rukun Negara dan untuk inklusiviti.

“Mereka mengisi ruang yang dibiarkan kosong oleh kebisuan pemimpin-pemimpin kerajaan kita.

“Seperti kata pepatah, jika anda diam maksudnya anda bersetuju ia berlaku,” kata aktivis sosial itu kepada The Malaysian Insight.

Menurut bekas Timbalan Pengerusi MKPN Lee Lam Thye, semua rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab penting dalam memastikan keharmonian sesama kaum terpelihara.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk memberi respons kepada seruan Majlis Raja-Raja Melayu untuk menyokong dan menggalakkan kesederhanaan sebagai sebahagian dalam hidup kita dan membantu ke arah perpaduan,” kata pemegang amanah Yayasan 1Malaysia itu.

Semalam, Majlis Raja-Raja Melayu mendukung pendirian tegas Sultan Johor dan Raja Muda Perlis berhubung kes “kedai dobi untuk orang Islam sahaja” yang dikesan di dua negeri itu baru-baru ini, sekali gus melahirkan kebimbangan tentang cubaan individu tertentu menggugat perpaduan dan keharmonian antara kaum di negara ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, Syed Danial Syed Ahmad berkata Raja-Raja Melayu bimbang tindakan itu yang dilakukan atas nama Islam boleh membawa kesan yang mendalam.

Katanya, Raja-Raja Melayu menggesa rakyat agar mempertahankan imej Isam yang toleran, sederhana dan inklusif.

Lee menambah, kenyataan tersebut merupakan satu peringatan kepada semua rakyat Malaysia supaya tidak mencetuskan sebarang tindakan mahupun penglibatan dalam aktiviti yang memberi kesan buruk terhadap keharmonian sesama kaum.

Dr Mujahid Yusof Rawa yang juga ahli PAS ketika berada dalam MKPN turut senada dengan bekas ahli MPKN lain dengan berpandangan kenyataan itu bertujuan bagi memastikan negara ini kekal menjadi negara yang berbilang kaum  dengan keharmonian nasional.

“Saya rasa pandangan Majlis Raja-Raja Melayu itu ada asasnya kerana mereka sebagai pelindung kepada negara ini.

“Jadi, apabila ada insiden-insiden yang boleh mengisyaratkan seolah-olah berlaku sesuatu perpecahan atau segregasi begitu, sudah tentulah ini akan menjadi kebimbangan di kalangan raja-raja Melayu,” katanya.

“Jadi kebimbangan mereka itu mungkin bersandar kepda perkara-perkara kecil seperti sebegini yang kemungkinan merebak menjadi satu fenomena yang boleh menimbulkan segregasi kaum.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu pada dua minggu lalu, menghantar usul untuk kerajaan membentangkan tiga rang undang-undang (RUU) persendirian dengan bermatlamat untuk mengurangkan kadar jenayah kebencian dan mempromosikan keharmonian dalam kalangan rakayat Malaysia agar ia dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

Dewan Rakyat dijadualkan bersidang bagi kali terakhir untuk tahun ini bermula 23 Oktober hingga 30 November.

Manakala, Saifuddin Abdullah yang juga bekas ahli MKPN pula berkata, rakyat Malaysia perlu menyokong pandangan Majlis Raja-Raja Melayu dalam melaksanakan kesederhanaan dalam Islam.

“Ini juga kerana peranan mereka telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, pendirian  mereka mempunyai kedudukan di mata orang ramai termasuk dari kalangan orang Islam dan bukan Islam,” katanya.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bulan lalu bertitah menyelar tindakan seorang pemilik sebuah kedai dobi layan di Muar, Johor yang mengehadkan perkhidmatan hanya untuk orang Islam sahaja dengan alasan untuk menjaga kesucian.

Pemilik kedai dobi itu kemudiannya akur kepada titah baginda dan menurunkan papan tanda yang disifatkan diskriminasi itu, selepas diberi kata dua hentikan tindakannya itu atau kedainya ditutup.

Selang beberapa hari selepas kejadian di Muar itu, sebuah kedai dobi di Kangar, Perlis ditegur pula Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail kerana melakukan bentuk perniagaan yang sama.

Pada 2013, Perdana Menteri Najib Razak melancarkan MKPN untuk menangani isu seperti polarisasi kaum dan agama, perpecahan dan diskriminasi sebagai usaha mencapai perpaduan negara.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.