RAJA MELAYU SOKONG SULTAN JOHOR ISU DOBI MUSLIM

KUALA LUMPUR – Majlis Raja-Raja Melayu memandang berat isu perpaduan dan hubungan harmoni di kalangan rakyat berbilang agama dan berbilang kaum di negara ini.

Menurut kenyataan media Majlis Raja-Raja Melayu yang ditandatangani oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, rakyat wajib memahami dan menghormati prinsip-prinsip utama yang terkandung di dalam Perlembagaan Negara, yang digubal berasaskan persefahaman bahawa negara ini adalah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai agama dan kaum.

“Sejak kebelakangan ini, tindakan-tindakan oleh individu-individu tertentu yang bersifat keterlaluan, dibimbangkan boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara rakyat pelbagai agama dan kaum.

“Raja-Raja berpendirian bahawa isu keharmonian membawa implikasi yang lebih mendalam sekiranya sesuatu tindakan itu bersabit dengan dan dilakukan atas nama Islam.

“Imej Islam sebagai agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleran, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari oleh tindakan-tindakan yang bersifat keterlaluan dan memisahkan rakyat,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu Majlis Raja-Raja Melayu amat menghargai pendirian tegas yang dizahirkan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berhubung kes ‘dobi untuk Muslim saja’ di negeri Johor; begitu juga dengan pendirian yang dizahirkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam kes yang serupa di negeri Perlis.

“Pendirian baginda berdua mencerminkan keprihatinan tentang pentingnya umat Islam mengamalkan sikap toleran, sederhana dan inklusif di dalam negara yang warganya terdiri daripada masyarakat berbilang agama dan berbilang kaum”.

Menurut kenyataan itu, Raja-Raja Melayu juga percaya perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama adalah komponen penting dalam memastikan kestabilan Malaysia.

“Setelah enam puluh tahun mencapai kemerdekaan, amatlah penting untuk rakyat terus mengamalkan nilai-nilai bermasyarakat dan bernegara berpandukan prinsip-prinsip yang termaktub di dalam Perlembagaan serta didukung oleh semangat yang terkandung di dalam Rukun Negara,” menurutnya.

Menurut kenyataan itu, Rukun Negara yang diisytiharkan sebagai ideologi kebangsaan oleh Yang di-Pertuan Agong keempat, pada 31 Ogos 1970, menggariskan lima cita-cita dan lima prinsip, harus menjadi kompas pedoman oleh semua pihak, baik pemimpin, pentadbir dan rakyat keseluruhannya.

— Bernama

.