RAIS HARAP DR. MAHATHIR, NAJIB BERBAIK SEMULA

JELEBU – Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim hari ini melahirkan harapan agar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Moha­mad berbaik semula dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, perbezaan politik tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada kedua-dua pemimpin tersebut untuk menjalinkan hubu­ngan silaturahim.
“Saya ingin melihat mereka bersalaman, masih berta­nya khabar walaupun seorang berada dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan seorang lagi dalam UMNO.

“Politik tidak boleh dijadikan penghalang atau perpecahan. Tak rugi kalau minum teh bersama, silaturahim itu yang pen­ting,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Pesta Menuai dan Mengoca Ikan 2017 di Kampung Gagu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ne­geri, Datuk Jalaluddin Alias dan Ahli Dewan Undangan Negeri Klawang, Datuk Yunus Rahmat.

Menurut Rais, krisis yang timbul ketika ini adalah di­sebabkan kegagalan bekas Perdana Menteri itu menghormati pemimpin yang kini diberi mandat untuk mentadbir negara.

“Apabila sudah tidak jadi pemimpin utama lagi, kita seharusnya menghormati pemimpin yang sedang berkuasa. Ini semua adalah soal budi, saya dapati nilai budi semakin terhakis sekarang ini malah ia tidak diajar di jabatan-jabatan kerajaan mahupun di sekolah,” katanya.
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/rais-harap-dr-mahathir-najib-berbaik-semula-1.431597#sthash.4bdz7iUh.dpuf