RAHMAN DAHLAN, MENTERI JERMAN?

Agak menggelikan hati apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan, salah seorang menteri propaganda Najib Razak menyatakan bahawa persamaan yang dibuat oleh Tun Mahathir Mohamad antara Joseph Goebbels dengan mereka yang selalu mempertahankan Perdana Menteri sebagai menyinggung perasaan Jerman.

Kata Abdul Rahman, kritikan Tun Mahathir tentang persamaan itu menyinggung perasaan Jerman, lebih-lebih lagi kerana kerana ia dilontarkan ketika Najib mengadakan lawatan rasmi ke negara tersebut.

Beliau telah menimbulkan kebencian dan menyinggung banyak perasaan di Jerman, negara yang membawa kumpulan pelaburan Eropah terbesar ke Malaysia tahun lalu, kata Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik BN.

Dalam tulisannya di blognya semalam, Tun Mahathir menyamakan pemimpin-pemimpin UMNO yang mempertahankan Najib umpama “Goebbels kecil” kerana berkelakuan seperti Joseph Goebbels, Menteri Propaganda era Hitler yang peranannya ialah mentransformasi segala yang buruk yang dilakukan Nazi supaya ternampak bukan saja baik, tetapi juga mulia.

Malangnya, kata bekas Perdana Menteri itu lagi, tiada sesiapa yang mempercayai gambaran yang cuba dilakukan Goebbels itu yang akhirnya bukan saja membuatkan rejim Nazi dan Hitler ditolak, malah Geobbels bersama isteri dan anak-anaknya juga membunuh diri.

Dengan Tun Mahathir turut menamakan Abdul Rahman sebagai antara “Geobbels kecil” tersebut, orang yang sepatutnya tersinggung ialah Abdul Rahman sendiri, bukannya rakyat atau negara Jerman.

Lagi pun, jika Kedutaan Jerman sendiri tidak berkata apa-apa sehingga ini berkaitan tulisan Tun Mahathir itu, bagaimana Abdul Rahman tahu banyak pihak di negara tersebut yang tersinggung?

Logiknya tidak ada sebab untuk sesiapa di Jerman yang harus tersinggung atau kecil hati dengan perbandingan yang dibuat oleh Tun Mahathir itu kerana ia adalah fakta sejarah yang benar dan bukan direka-reka.

Perbandingan yang dibuat oleh Tun Mahathir juga tidak bertujuan memburuk-burukkan negara Jerman, baik dahulu mahupun sekarang, tetapi untuk menunjukkan betapa ada pemimpin di Malaysia sendiri yang mengaku moden dan bertamadun yang tidak mengambil iktibar daripada kegagalan watak Geobbels itu.

Malah, orang Jerman sendiri tidak ada lagi yang berperangai seperti Geobbels selepas berakhirnya era Nazi kerana mereka telah menjadikan sejarah sebagai pedoman untuk meneruskan kehidupan dan menjadikan negara mereka lebih dipandang tinggi oleh dunia.

Hanya di Malaysia, termasuk Abdul Rahman, walaupun mungkin banyak menonton cerita perang antara Jerman dengan Amerika sejak kecil melalui televisyen, tetapi tidak pernah sedikit pun belajar daripada sejarahnya.

Dalam banyak-banyak watak di dunia ini yang boleh dipilih untuk diri sendiri bagi ditonton oleh masyarakat, keluarga dan anak-anak, kenapalah watak Geobbels juga jadi pilihan?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/