RAFIZI USUL AMBIL TINDAKAN TERHADAP ADAM ROSLY

SHAH ALAM –  Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan rakan-rakan pimpinan dalam parti akan mengusulkan supaya satu tindakan diambil terhadap Ketua AMK Ampang, Datuk Adam Rosly.

Rafizi berkata, tindakan yang akan dilaksanakan akan menjarakkan kemelut peribadi Adam daripada mengheret PKR dan Pakatan Harapan ke dalam masalah peribadinya.

“Tindakan akan diputuskan sama ada melalui keputusan bersama kepimpinan PKR untuk membolehkan dia (Adam) ‘bercuti’ dari jawatan parti sehingga kesnya selesai, atau melalui kaedah Lembaga Disiplin seperti yang disuarakan oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Apa pun, saya berharap seluruh kekuatan parti dari akar umbi ke peringkat pimpinan mengambil langkah untuk menjarakkan parti dari kemelut peribadi seperti ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kata Rafizi lagi, keengganan Adam menuruti nasihatnya supaya melakukan pengistiharan harta juga telah menyebabkan masalah yang melanda kian melarat.

“Sebab itu semasa kekayaan Adam mula-mula menarik perhatian ramai, saya dengan serta-merta menasihatkan beliau supaya mengisytiharkan harta. Ada perbezaan di dalam parti apabila ada yang beranggapan beliau tidak perlu mengisytiharkan harta kerana tidak menjawat sebarang jawatan kerajaan.

“Saya telah menyatakan bahawa saya tidak bersetuju dengan pandangan itu kerana piawai moral dan keamanahan yang dipegang PKR mestilah lebih tinggi dari parti-parti lain,” katanya.

Menurutn Rafizi, seseorang yang memegang jawatan parti tidak boleh dilihat mengumpul kekayaan yang tidak boleh diterangkan kepada rakyat.

Jelas Rafizi, jika kekayaan itu dikumpul secara sah dan tanpa melibatkan kepentingan awam, beliau yakin mana-mana pimpinan dalam parti itu boleh mengisytiharkan harta dengan mudah.

“Saya masih berpendapat Adam boleh menjernihkan keadaan supaya tidak mengheret PKR ke dalam kemelut peribadi beliau dengan mengisytiharkan harta secepat mungkin.

“Keadaannya berbeza sekarang kerana keengganan beliau mengisytiharkan harta telah mengheret nama baik PKR sehingga dijadikan bahan serangan oleh musuh-musuh politik PKR,” katanya lagi.

Adam yang ditangkap dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dituduh di mahkamah 21 April lalu.

Adam, 28, yang ditahan SPRM pada 13 April ketika hadir untuk memberi keterangan berhubung dakwaan kekayaan luar biasanya, telah berada dalam tahanan reman sejak itu bagi membantu melengkapkan siasatan kes tersebut.

Menurutnya lagi, pihak PKR sebenarnya amat tegas mengenai perkara-perkara yang bersabit dengan tatakelola dan keamanahan.

“Setahun lalu, saya sendiri sebagai Setiausaha Agung PKR pada ketika itu dengan diiringi pimpinan-pimpinan lain membuat laporan mengenai dakwaan salah guna kuasa dan rasuah yang diadukan kepada saya didakwa berlaku di Selangor.

“Malah, saya secara berterusan di dalam saluran rasmi dan tidak rasmi parti mengingatkan pimpinan dan aktivis parti bahawa gerak geri kita diperhatikan oleh rakyat.

“Saya konsisten menegaskan bahawa piawai moral dan keamanahan yang perlu kita buktikan kepada rakyat adalah lebih tinggi dari parti-parti lain kerana PKR dihargai rakyat hasil dari perjuangan berterusan kita menentang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan pentadbiran sedia ada,” ujarnya.

– SH