RAFIZI: ‘TERIMA KASIH TUN, TAPI SAYA TAKKAN KENDUR’

Rafizi Ramli mengucapkan terima kasih kepada kata-kata semangat Tun Dr Mahathir Mohamad susulan sabitan dan hukuman 30 bulan penjara terhadapnya.

Naib presiden PKR itu bagaimanapun berkata hukuman itu tidak akan melemahkan semangatnya daripada terus bersuara.

“Saya berterima kasih kepada Tun M kerana meluangkan masa beri ucapan itu walaupun kesihatannya kurang bagus,” katanya kepada Malaysiakini.

“Walaupun saya faham ada keraguan, saya harap lebih ramai akan terima kesatuan tulen pasukan perubahan – kumpulan reformasi pasca-1998, pemimpin-pemimpin yang dilihat ‘orang lama’ seperti Mahathir dan pemimpin pelbagai kaum DAP, AMANAH, PKR dan BERSATU dan masyarakat sivil yang objektifnya hanya untuk membina negara itu sebelum rosak teruk.”

Dalam mesej ringkas melalui video, Mahathir hari ini menasihatkan Rafizi supaya menguatkan semangat, tidak kecewa dan terus berjuang untuk bangsa dan negara.

Sementara itu, Rafizi berkata beliau tidak akan mengendurkan gerak kerjanya susulan sabitan itu.

Setakat ini, katanya, beliau turun memberi penjelasan di sepuluh kawasan parlimen di Perak minggu lalu, termasuk kubu kuat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi di Bagan Datuk.

“Keputusan NFC kekal sebagai elemen emotif yang penting di kalangan pengundi biasa yang saya temui sepanjang siri kempen di 10 kawasan parlimen itu.

“Saya tiada niat untuk kendur dan saya dijadual turun di 10 kawasan parlimen lagi setiap minggu pada Februari, Mac dan April depan,” katanya.

Rafizi dan dan seorang bekas kerani bank didapati bersalah membocorkan data perbankan kerana mendedahkan kedudukan akaun syarikat akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang membabitkan Datuk Seri Mohd Salleh Ismail, suami Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Jalil.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 7 Februari lalu mendapati pendakwa berjaya membuktikan Rafizi dan Johari Mohamad melanggar Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) melampaui keraguan munasabah.

Kedua-dua mereka dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan.

– M’kini

.