RAFIZI: TEGAKKAN KEBENARAN DAN DUNIA BERSAMA ANDA

Hukuman penjara 30 bulan terhadap Rafizi Ramli dan bekas kerani bank Johari Mohamad yang didapati bersalah membocorkan data perbankan berhubung akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd mengundang pelbagai reaksi.

Antaranya adalah kerisauan betapa keputusan itu akan memberi kesan buruk terhadap kewartawanan siasatan dan pemberi maklumat.

Namun, naib presiden PKR itu tidak risau tentang kebimbangan itu dan yakin rakyat kini mempunyai lebih upaya untuk mendedahkan kebenaran.

“Sebelum ini, anda mungkin berasa keseorangan (kerana) menganggap hanya anda sahaja yang melakukannya. Jika ada tindakan, tindakan ke atas anda seorang.

“Tetapi dengan adanya Facebook dan Twitter, anda dengan mudah dapat membuat pengesahan terhadap sebarang isu yang menjadi perhatian umum. Ramai kini yang tampi ke depan untuk menjadi sukarelawan, menyumbang dana, dan mengecam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di internet.

“Anda tidak keseorangan, tetapi majoriti. Anda adalah rakyat. Ini menampung apa sahaja usaha Najib dan BN yang mahu menghantar mesej untuk menakutkan rakyat,” katanya dalam wawancara bersama¬†Malaysiakini¬†semalam.

Dengan kekuatan itu, Rafizi yakin orang ramai akan terus menyokong perkara yang benar.

“Apa sahaja yang menjadi sebab untuk rakyat mencari kebenaran, saya harap mereka dapat melihat yang ia adalah tindakan yang betul dan dunia akan berdiri di belakang mereka,” katanya sambil menegaskan beliau tidak menyesal mendedahkan maklumat NFC itu enam tahun lalu.

Jika ketakutan tidak menjadi faktor, apakah cabaran terbesar kepada amalan memberi maklumat (whistleblowing)?

“Masalah utamanya adalah tentang mengesahkan dan menyokong bukti, memecahkan maklumat yang ada, dan menggali kes dengan lebih dalam.

“Ketakutan tidak pernah menjadi masalah,” kata anggota parlimen Pandan itu lagi.

‘BN salah baca’

Rafizi yakin keputusan mahkamah itu tidak akan menutup mulut para pemberi maklumat, sebaliknya mengurangkan lagi sokongan orang ramai terhadap BN.

Beliau mengetuai badan penyelidikan Invoke, yang antara lain memantau 28,000 pengundi kategori “atas pagar”. Badan itu memerhati reaksi mereka terhadap isu semasa di media sosial saban hari.

“Lonjakan (minat) terhadap kes NFC dan keputusan mahkamah jauh lebih tinggi berbanding skandal terowong dasar laut Pulau Pianng dan serangan Umno terhadap dakwaan skandal seks Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Ini tidak pernah dilihat sebelum ini, ia jauh lebih tinggi,” dakwanya.

Rafizi mendakwa analisis terhadap sentimen di internet juga “amat” tidak menyebelahi BN, dan ia diparahkan lagi dengan kelambatan mereka memberi respons kepada mana-mana isu.

Lebih 24 jam selepas keputusan Mahkamah Sesyen terhadapnya, Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Jalil – yang mana suaminya mengetuai projek NFC sebelum ia ditimpa kegagalan – berkata Rafizi bukanlah “mangsa”, tetapi bersalah kerana “menyalahgunakan” undang-undang untuk tujuan politik.

Namun pada masa itu sentiman di atas talian sudah pun terbentuk.

“Mungkin BN memandang rendah perkara ini,” kata Rafizi.

– M’kini

.