RAFIZI: ‘SAYA TAK SUKA TRUMP WALAUPUN RAMBUT KAMI NAK SAMA’

SHAH ALAM – “Saya tidak suka Trump (Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump), satu-satunya persamaan antara kami hanyalah rambut kami yang lebih kurang serupa,” seloroh Setiausaha Agung PKR, Mohd Rafizi Ramli ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan, hari ini.

Mohd Rafizi berkata, meskipun beliau tidak meminati karisma kepimpinan Trump, pemimpin AS itu banyak memberi pengajaran kepadanya menerusi pilihan raya kali ini.

“Jangan sesekali pandang rendah kepada pihak ‘underdog’. Trump adalah calon yang disangka dapat dikalahkan, bagaimanapun beliau muncul menang dalam pilihan raya di sana (AS).

“Kalau pakatan pembangkang nampak terlalu kuat, kita tidak akan menang pilihan raya,” ujarnya dalam sesi pidato di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, jika pembangkang nampak kuat, ada yang akan menggunakan sentimen perkauman untuk hancurkan ikatan pembangkang.

“Kita tidak perlu risau kerana rakyat bukan mencari parti yang kuat. Sebaliknya rakyat mencari parti yang mampu membela nasib rakyat.

“Sejarah telah pun membuktikan, parti yang ‘underdog’ biasanya akan menang dalam pilihan raya akhirnya,” katanya lagi.

SINAR HARIAN

.