RAFIZI: SAYA SUDAH BIASA TIDUR DI LOKAP’

SHAH ALAM – PKR menyambut baik kesudian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan wakil calon untuk tidur bersama tong kertas undi di lokap supaya penipuan dalam PRU nanti dapat dikurangkan seminimum mungkin.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, soal kebebasan SPR dalam mengendalikan PRU14 adalah perkara yang merisaukan banyak pihak.

Menurutnya, beberapa perkembangan terkini dilihat membimbangkan termasuklah pemindahan pengundi yang didaftarkan di alamat yang sama tapi jumlah pengundi yang banyak.

“Kita juga dengar pemindahan pengundi awal di kem tentera yang belum siap. Sudah tentu semua ini menambah kecenderungan rakyat untuk yakin bahawa perkara ini telah berlaku dan sedang diusahakan Umno dan BN dalam PRU akan datang.

“Ada enam kerusi Parlimen yang keputusannya bakal ditentukan oleh undi anggota pasukan keselamatan yang akan mengundi awal dan kerusi ini adalah di Telok Kemang, Lumut, Setiawangsa, Tambun, Merbok, Segamat.

“Pengundi dalam kalangan anggota keselamatan seperti tentera dan polis hutan contohnya akan membuang undi beberapa hari awal sebelum kita semua membuang undi, selepas buang undi, peti undi akan disimpan di balai polis dan akan dikeluarkan pada hari mengira undi selepas peti undi biasa selesai,” katanya di Facebook rasmi beliau, hari ini.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, sebelum ini wujud kerisauan bahawa proses menyimpan undi di balai untuk beberapa hari tanpa ada wakil daripada calon akan membuka ruang penipuan dan manipulasi.

Katanya, beliau mengalu-alukan SPR untuk mengubah prosedur untuk membenarkan wakil calon supaya calon berada di balai polis sepanjang masa peti berada di balai polis supaya peti awal tidak dibuka, dipindah dan berlaku penipuan.

“Hari ini, Sinar Harian ada melaporkan kenyataan daripada pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang mengatakan bahawa SPR tiada halangan jika ada pihak yang mahu tidur bersama tong kertas undi di lokap.

“Saya dah tunggu lama kenyataan itu kerana saya sudah biasa tidur di lokap,” seloroh Rafizi.

Menurutnya, beliau sedia menempatkan wakil calon atau sukarelawan untuk menjaga peti undi di lokap sepanjang beberapa hari sebelum kiraan dibuat terutama di enam kerusi parlimen tersebut.