RAFIZI MINTA BANK NEGARA SIASAT PINJAMAN RM1B FELDA

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menulis surat kepada Bank Negara untuk meminta institusi itu menyiasat pinjaman diperoleh Felda.

Dalam surat dialamatkan kepada Datuk Muhammad Ibrahim itu Rafizi meminta gabenor Bank Negara menyiasat Felda mengikut Akta Antipengubahan Wang Haram (AMLA).

“Saya memohon supaya satu kertas siasatan di bawah AMLA (dan segala peruntukan undang-undang yang lain) dibuka dengan segera untuk menyiasat sama ada perjanjian pendanaan swasta melibatkan Perumahan Felda Sdn Bhd, Terranova Builders Sdn Bhd dan Putra Star Investment Holdings Pte Ltd melanggar apa-apa peruntukan undang-undang,” katanya melalui surat berkenaan yang turut dihantar kepada media.

Kenyataan Rafizi itu dibuat berhubung tindakan Felda mendapatkan pendanaan swasta bernilai RM1 bilion untuk projek perumahan generasi baru Felda yang dikatakan belum dapat dilaksanakan kerana isu-isu teknikal dan pematuhan kepada perjanjian inisiatif berkenaan.

Felda mendapat pendanaan itu daripada syarikat Singapura, Putra Star Investment Holdings Pte Ltd (Putra Star).

Rafizi berkata beliau mahu tahu bagaimana Felda memperoleh pinjaman tersebut dan mendakwa, syarikat terkaya di dunia pun tidak akan memberikan pinjaman sehingga RM1 bilion tanpa sebarang cagaran.

Felda dan Putra Star menandatangani perjanjian pendanaan itu pada 6 September tahun lalu.

Rafizi yang juga anggota parlimen Pandan berkata semakan ringkas terhadap Putra Star juga menunjukkan ia adalah syarikat yang tidak mempunyai pengalaman dalam hal pembiayaan kewangan.
Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad kemudian menjelaskan, hanya fasa kedua projek pembinaan perumahan itu dibiayai syarikat swasta.

Bagi projek fasa pertama pula, dananya diperoleh daripada sumber dalaman Felda dan pinjaman.

– M’kini

.