TITAH SULTAN JOHOR BERASAS, HARUS DIHORMATI – SALLEH

PUTRAJAYA – Kenyataan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung pelaburan dari China dalam projek pintar, Forest City di Johor harus dihormati oleh semua pihak kerana ia adalah berdasarkan fakta.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, titah Sultan Johor itu menunjukkan yang projek itu penting untuk Malaysia dalam usaha menarik pelabur asing.

“Sudah tentu Sultan Johor mem­­buat kenyataan tersebut ber­dasarkan fakta dan asas, maka kita harus menghormatinya.

“Sememangnya jelas bahawa kenyataan Sultan Johor itu me­nunjukkan bahawa apa yang dilakukan pada ketika ini (untuk Forest City) penting kepada kita bagi menarik pelabur asing ke Malaysia, tidak kira pelabur dari mana-mana negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum kerjasama (MoC) antara kementerian itu dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai ke­ke­cewaan Sultan Johor terhadap tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memutar belit isu pelaburan dari negara China, khususnya di Johor.

Salleh berkata, dakwaan bekas Perdana Menteri itu seolah-olah rakyat Malaysia akan kehilangan kedaulatan apabila membenarkan pelaburan dari China sememangnya tidak tepat.

Walhal ujarnya, Dr. Maha­thir sengaja menggunakan isu pe­­la­bu­ran langsung asing (FDI) untuk kepentingan politiknya semata-mata selain menyatakan kebencian kepada pihak tertentu.

“Apa beza pelabur dari Jepun, India, Eropah dengan China. Sejak dahulu lagi Malaysia membuka peluang pelaburan. Jadi apa motif dan maksud Dr. Mahathir itu. Sedangkan dunia juga telah menerima pelaburan dari China,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Jabatan Peguam Negara akan menentukan tindakan terhadap seorang pegawai tadbir dan diplomatik di Kedutaan Malaysia di Filipina kerana meng­hina bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem di laman sosial.

“Memang dalam soal kakita­ngan berkenaan kita telah me­nerima laporan dan akan membuat siasatan seperti biasa. Tin­­dakan akan diambil berdasarkan hasil siasatan yang dilakukan.

“Jika didapati mempunyai asas yang kukuh, kita akan rujuk kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan sewajar­nya,” katanya.

– UTUSAN

.