RAFIZI, JANGAN MENYIBUK HAL PARTI LAIN

ALOR SETAR – Pengasas Invoke, Rafizi Ramli dinasihatkan supaya tidak menyibuk dalam hal dalaman parti lain, sebaliknya memfokus kepada isu dalaman PKR atau Pakatan Harapan.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, pendedahan Rafizi berkaitan kajian Invoke terbaharu, hanyalah perang psikologi bertujuan mengalih fokus pengundi Melayu daripada memilih Pas pada PRU14.

“Saya nasihatkan Rafizi lebih giat lakukan kajian berkaitan kedudukan dan pengaruh PKR atau Pakatan Harapan, berbanding menyibuk dalam hal dalaman parti lain,” katanya.

Menurutnya, PKR tidak perlu bimbang mengenai kekuatan Pas kerana parti itu antara parti politik berpengaruh di negara ini, selain Umno.

“Mungkin Invoke terlupa fakta, parti politik Melayu yang berpengaruh di Malaysia hanya Pas atau Umno. Eloklah mereka buat kajian khususnya dalam kalangan pengundi wanita luar bandar daripada membuang masa mengkaji kekuatan parti politik seteru mereka,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi mendedahkan sokongan pengundi Melayu kepada Umno dan Pas merosot.

Sokongan pengundi kepada Pas dikatakan merudum dalam tempoh 12 bulan, iaitu hanya 14 peratus pengundi Melayu akan mengundi Pas dalam pertandingan tiga penjuru, berbanding 25 peratus dalam kaji selidik yang sama Januari lalu.

Manakala 41 peratus daripada pengundi Melayu di seluruh negara menyatakan akan mengundi Umno.

Ahmad Fakhruddin turut menyifatkan kemerosotan sokongan terhadap Pas yang didakwa melibatkan 5,000 pengundi berdaftar secara rawak oleh sistem komputer, sebagai tidak realistik.

“Kajian yang dibuat seolah tidak berpijak di bumi nyata, Pas telah lama memberi komitmen politik kepada rakyat sejak sebelum merdeka dan konsisten memperjuangkan hak rakyat berpaksikan syariat Islam,” katanya.

Menurutnya, biarpun dimomok dengan hasil kajian seumpama yang tidak memihak kepada parti itu, Pas tetap istiqamah dan tidak terpengaruh dengan pendedahan yang cuba dimainkan pihak lawan.

“Ia tidak melemahkan Pas, sebaliknya beri suntikan semangat dan iltizam kepada ahli-ahlinya untuk terus berkempen dan menang kerusi ditandingi pada PRU14,” katanya.

Ahmad Fakhruddin berkata, Pas langsung tidak terkesan dengan hasil kajian Invoke kerana parti itu bersandarkan kepada maklumat kajian dalaman parti dan tidak bergantung kepada input parti lawan.

“Rafizi tak perlu bersusah payah sibukkan diri untuk jadi penentu sokongan rakyat terhadap Pas, lebih baik beliau tumpu pada usaha mantapkan parti sendiri,” katanya.

– Sinar Harian

.