RAFIZI: GARIS PANDUAN ANWAR MUDAHKAN RUNDINGAN PKR-PAS

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berpendapat, garis panduan yang ditetapkan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk memudahkan parti itu bagi membuat keputusan muktamad berhubung rundingan dengan PAS.

Menurut Rafizi, kenyataan terbaru Anwar itu tidak sepatutnya disalah erti sebagai persetujuan untuk terus menggantung rundingan antara kerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) demi memujuk PAS hingga ke saat akhir.

“Jika garis-garis panduan yang jelas yang diberikan oleh Datuk Seri Anwar (bersertakan keputusan di peringkat HARAPAN dan penolakan PAS) masih belum membolehkan satu keputusan muktamad mengenai perkara ini di peringkat PKR, maka ahli akar umbi berhak untuk menggunakan peruntukan Perlembagaan untuk memanggil kongres khas dan memuktamadkan keputusan tersebut bagi pihak parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya hari ini.

Selain itu, anggota parlimen Pandan itu berkata, terdapat pihak yang mendakwa kenyataan Anwar semalam membuktikan strategi untuk berunding dengan PAS hingga ke saat akhir itu datang dari bekas ketua pembangkang itu sendiri.

Ekoran itu, menurut Rafizi, ramai antara penyokong PKR dan HARAPAN serta rakyat yang kecewa malah ada yang turut menyerang Anwar.

“Dengan keterbatasan yang beliau ada kerana terpenjara, pandangan Datuk Seri Anwar selama ini pun (dalam sesuatu perkara) memang berbentuk panduan umum yang memberi garisan jelas pertimbangan-pertimbangan yang mesti diambil kira dalam membuat keputusan.

“Beliau menyenaraikan sempadan-sempadan (parameters) supaya keputusan yang dibuat mengambil kira perkara-perkara penting yang ditetapkan oleh sempadan-sempadan itu,” kata Rafizi lagi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Anwar masih mempunyai keterbatasan dari segi maklumat terkini memandangkan saluran ketua umum PKR itu adalah melalui peguam-peguamnya.

“Dalam isu rundingan kerusi dengan PAS ini, keterbatasan maklumat itu lebih penting kerana satu-satunya maklumat saluran beliau yang paling sering adalah melalui peguam Sivarasa Rasiah, Latheefa Koya dan N Surendren yang ketiga-tiganya adalah pendukung kepada cadangan bekerjasama dengan PAS untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru,” kata Rafizi lagi.

– M’kini

.