‘RAFIZI, FIKIR NASIB SENDIRI, BERHENTI BERLAGAK PANDAI’

Pegawai khas kepada perdana menteri Datuk Rizal Mansor mengingatkan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli jaga kain sendiri dan berhenti berlagak pandai.

Rizal berkata demikian selepas kenyataan Rafizi di Parlimen semalam yang mencadangkan agar BN memberikan subsidi petrol 20 sen jika ingin terus menguasai Putrajaya.

Menurut Rizal, subsidi pukal seperti yang dicadangkan Rafizi itu adalah langkah ke belakang kerana subsidi sebegitu mempunyai ruang ketirisan yang besar apabila ia turut dinikmati oleh mereka yang lebih dari mampu.

“Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib lebih berminat memberikan bantuan terus kepada mereka yang lebih layak dan berbelanja ke arah sesuatu yang lebih bermanfaat untuk masa hadapan.

“Sebagai contoh, sila rujuk kembali Bajet 2018 – untuk pendidikan sahaja, kerajaan telah mengagihkan baucer buku sebanyak RM250 untuk seorang pelajar dan program ini boleh membantu kira-kira 1.2 juta pelajar.

“RM250 yang diberikan ini adalah bersamaan dengan subsidi 20 sen untuk 1,250 liter petrol,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Rizal, lebih baik Rafizi memikirkan nasib sendiri daripada sibuk menjaga tepi kain BN kerana Timbalan Presiden PKR Azmin Ali tidak akan pedulikan beliau sekiranya dipenjara.

Mahkamah Tinggi Ogos lalu mengekalkan salah satu sabitan terhadap Rafizi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan hukuman penjara 18 bulan.

Rafizi didapati bersalah mendedahkan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen Mac tahun lalu.

Pemimpin PKR itu sebelum ini mengakui terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin PKR.

Pemerhati politik percaya Biro Politik PKR terbahagi kepada dua kumpulan, dengan satu pihak enggan bekerjasama dengan PAS manakala satu lagi bersikap sebaliknya.

Bajet pembangkang

Sementara itu, dalam kenyataan sama Rizal turut mengkritik Bajet Alternatif 2018 yang dibentangkan Pakatan Harapan (HARAPAN) 25 Oktober lalu.

“Sebelum menang, pakatan pembangkang boleh janjikan bulan dan bintang kononnya nak jimatkan RM20 bilion dalam perbelanjaan.

“Bagaimana nak jimat RM20 bilion apabila baru sahaja memerintah Selangor, PKR dah lahirkan ramai ‘jutawan’ segera. Jika dapat Putrajaya, entah berapa ribu ‘jutawan’ segera akan dilahirkan.

“Baru buat kajian terowong di Pulau Pinang pun sudah belanja ratus juta,” katanya merujuk projek terowong dasar laut kerajaan negeri yang ditadbir DAP itu.

Rizal turut mengkritik intipati Bajet Alternatif 2018 yang memberi kelonggaran kepada peminjam PTPTN yang belum mendapat pekerjaan dengan gaji RM4,000 sebulan.

“(Ini) bermakna PTPTN terpaksa menanggung beban hutang tertunggak yang banyak dan dalam masa yang sama harus terus memberi pinjaman kepada pelajar baru.

“BN adalah kerajaan bertanggungjawab yang mengurus ekonomi dengan berhemah demi kepentingan semua pihak tanpa mahu mengambil pendekatan populis semata-mata untuk menang pilihanraya,” katanya.

Bajet 2018 dibentangkan perdana menteri pada sesi pembukaan Parlimen 27 Oktober lalu dan menurut presiden Umno itu, ia adalah “ibu segala bajet”.

Pemimpin pembangkang menggelar Bajet 2018 sebagai ‘bajet pilihan raya’ untuk BN memancing undi dalam pilihan raya yang dijangka berlangsung tahun depan.

– M’kini

.