RAFIZI DESAK NASHARUDIN LETAK JAWATAN PENASIHAT SPRM

PUTRAJAYA – Selepas mendedahkan bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa yang didakwanya menerima dana daripada syarikat pembangunan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli membuat laporan terhadap isu tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Beliau hadir ke ibu pejabat SPRM di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, ditemani bekas pemimpin DAP, Ronnie Liu dan Pengarah Strategi parti Amanah, Datuk Dzulkefly Ahmad.

“Dari segi maklumat, SPRM sudah mempunyai maklumat, iaitu wang daripada akaun SRC International masuk ke dalam akaun Perdana Menteri.

“Daripada akaun Perdana Menteri, wang itu dimasukkan ke dalam akaun peguam sebelum dipindahkan ke akaun beberapa penerima lain dan salah seorangnya, Datuk Nasharudin,” katanya kepada pihak media.

Beliau turut memetik kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali daripada sebuah laporan media tempatan yang menyatakan siasatan terhadap bekas salah sebuah anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd masih lagi berjalan.

“Oleh itu, saya teruskan membuat akuan bersumpah semalam dengan (merujuk) kenyataan Peguam Negara ini, bermakna tidak ada sebarang alasan untuk mempercepatkan siasatan kes ini,” katanya.

Selain Nasharudin, Rafizi meminta SPRM untuk menyiasat individu atau pihak lain yang dipercayai menerima wang daripada 1MDB juga.

Beliau turut meminta Nasharudin untuk meletakkan jawatan sebagai salah seorang ahli panel penasihat SPRM kerana bimbang berlaku konflik kepentingan dalam siasatan kes berkenaan.

“Demi menjaga nama baik SPRM, beliau perlu meletakkan jawatan,” tegasnya.

Kelmarin, Rafizi mendedahkan perkara ini setelah mendapat maklumat selepas bertemu dengan seorang kenalannya iaitu seorang bekas pegawai kanan SPRM yang mengetuai siasatan berhubung dana 1MDB dan penglibatan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam skandal itu.

– SH