RAFIZI DAKWA LAWATAN PM KE AS BUKAN RASMI

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke White House bukan lawatan rasmi ketua kerajaan seperti kelazimannya.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, hujahnya berasaskan bahawa ketiadaan protokol tertentu seperti tidak ada upacara sambutan rasmi yang diadakan semasa ketibaannya.

“Untuk membezakan sama ada sesuatu jemputan dari Presiden Amerika Syarikat itu adalah jemputan berbentuk lawatan rasmi ketua kerajaan atau tidak, kita boleh melihat layanan dan kemudahan yang diberikan.

“Jemputan yang bertaraf lawatan rasmi ketua kerajaan melibatkan, antara lainnya, sambutan rasmi semasa pesawat mendarat, majlis sambutan rasmi di White House dan penginapan yang disediakan di Blair House, iaitu rumah untuk tetamu negara,” katanya pada sesi langsung di Facebook hari ini.

Menurutnya, maklumat yang diterimanya berkata, Najib akan menginap di sebuah hotel milik keluarga Presiden Trump dan segala perbelanjaan tidak ditanggung oleh kerajaan Amerika Syarikat.

“Ini mengesahkan bahawa lawatan beliau bukanlah satu lawatan rasmi ketua kerajaan dan saya merasakan segala perbelanjaan sebenarnya ditanggung oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau seterusnya memetik maklumat daripada “sumber yang boleh dipercayai” dan mendakwa Najib tidak akan tampil dalam sidang akhbar bersama dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump selepas perjumpaan mereka.

“Maklumat saya mengesahkan bahawa pejabat Presiden Trump menawarkan untuk diadakan satu sidang media bersama selepas perjumpaan dan Najib boleh memilih sama ada sidang media itu membenarkan soalan ditanya wartawan atau tiada soalan dibenarkan.

“Saya dimaklumkan Najib memilih untuk langsung tidak mengadakan sidang media bersama dan hanya satu kenyataan akan diedarkan selepas pertemuan tersebut,” katanya.

Malaysiakini tidak boleh mengesahkan secara bebas tuduhan Rafizi itu dan telah menghubungi pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan ulasan lanjut.

– M’kini

.