RAFIZI CUBA ALIH ISU – SOHAIMI

SHAH ALAM  – Tindakan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menghantar surat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencadangkan Perdana Menteri supaya mengisytiharkan harta dilihat hanya satu helah untuk mengalih isu selepas gagal menipu rakyat berhubung kos pembinaan transit aliran massa (MRT).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, Rafizi hanya mahu menutup kelemahan dan kesilapannya selepas mengakui terlepas pandang fakta berhubung isu kos pembinaan MRT baru-baru ini.

“Rafizi sekarang tengah pening dan apa yang saya nampak, dia cuba mengheret sekali lagi Perdana Menteri selepas cubaannya untuk menipu rakyat berhubung kos pembinaan MRT gagal.

“Bagi menutup kelemahan serta kesilapannya, maka dia cuba mengalih perhatian rakyat khususnya penyokong PKR dengan menimbulkan cadangan populis itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Akhbar semalam melaporkan Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menghantar satu surat yang bertarikh 19 Disember kepada Najib mencadangkan agar pemimpin nombor satu negara itu mengisytiharkan harta.

Sohaimi dalam pada itu mengingatkan Rafizi untuk memperbaiki masalah dalaman PKR terlebih dahulu sebelum cuba memperbe­tulkan masalah orang lain.

“Kita sedar, tahu dan sudah masak dengan strategi PKR yang akan sentiasa menimbulkan isu serta persoalan kepada rakyat ke­rana ia adalah sebahagian daripada agenda memburukkan serta menanam kebencian rakyat terhadap Perdana Menteri dan kerajaan.

“Saya menggesa Rafizi supaya meminta dan mendesak pimpinan tertinggi pakatan pembangkang yang diketuai DAP terma­suk Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengisytiharkan harta secara terperinci terlebih dulu sebelum mengemukakan cadangan ber­kenaan kepada Perdana Menteri,” jelasnya.

UTUSAN

.