PUTRAJAYA SIASAT DAKWAAN SYARIKAT TUTUP KERANA GST

PUTRAJAYA sedang menyiasat dakwaan ada syarikat yang terpaksa menutup operasinya kerana tertekan dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan sejak April 2015.

Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani dalam ucapan penggulungan Bajet 2018 bagaimanapun enggan mendedahkan perkara berkenaan secara terperinci kerana ia masih dalam siasatan.

“Ada, Yang Berhormat. Ini soal siasatan, ini kita tak boleh dedahkanlah,” kata Johari di Dewan Rakyat, menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Rompin, Hasan Arifin.

Hasan sebelum itu bertanya apakah ada syarikat yang menutup operasinya selepas kerajaan memansuhkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan menggantikannya dengan GST.

Menjawab soalan sama daripada Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud, Johari berkata beliau ada menerima aduan daripada peniaga-peniaga yang mengatakan mereka terpaksa menutup perniagaan kerana persaingan, dan bukannya kerana GST semata-mata.

“Ini cerita pasal syarikat tutup sebab GST ini kita kena tengok detail. Banyak juga syarikat datang ke pusat khidmat saya kena tutup meniaga tetapi sebab persaingan,” katanya.

“Tapi kalau nak bagi alasan syarikat tutup sebab ada GST adalah tidak betul,” tambahnya.

Menurut Johari, selain persaingan, ada juga perniagaan yang ditutup kerana pemiliknya sudah tua dan tidak lagi mahu meneruskan perniagaan.

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) pada 20 Oktober lalu mendedahkan ada peniaga-peniaga Melayu menutup kedai selepas kerajaan memperkenalkan GST dua tahun lalu.

DPMM bagaimanapun tidak mendedahkan angka sebenar peniaga Melayu yang terkesan.

Johari dalam pada itu turut mendedahkan sejak pelaksanaan GST, lebih banyak syarikat yang mendaftar.

“Sudah ada banyak syarikat sebelum itu (SST), jadi lepas GST kita (dapat) cukai lebih banyak,” katanya lagi.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dilaporkan berjaya memungut hasil kutipan cukai GST sebanyak RM41.2 bilion berbanding sasaran yang ditetapkan sebanyak RM39 bilion pada tahun lalu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.