PUTRAJAYA MOHON BATAL SAMAN TERHADAP ZAKIR NAIK

PERBICARAAN kes sivil terhadap kerajaan dan pendakwah Dr Zakir Naik ditangguhkan ke 21 September selepas Putrajaya pada saat akhir memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu semalam.

Hakim Azizah Nawawi membuat keputusannya hari ini selepas mendapat makluman semalam. Kedua-dua pihak akan hadir pada 21 September di dalam kamar hakim.

“Saya belum melihat permohonan dibuat kerajaan menerusi Pejabat Peguam Negara. Tetapi mereka kata akan berhujah,” kata peguam S. Karthigesan bagi pihak plaintif.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan mengapa Putrajaya mengambil masa terlalu lama sebelum membuat keputusan untuk membatalkan tuntutan itu.

“Kenapa sekarang selepas enam bulan? Kami failkan kes ini pada Mac. Mereka failkan untuk pembatalan ketika kes itu sudah sampai peringkat bicara,” kata Karthigesan.

Pada Mac, 19 rakyat Malaysia mengambil tindakan undang-undang terhadap Putrajaya dan empat yang lain untuk mendapatkan perintah mahkamah mengisytiharkan pendakwah kontroversi Zakir, sebagai ancaman terhadap keselamatan negara.

Semua plaintif terdiri daripada peguam, aktivis hak asasi manusia, ahli perniagaan dan bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy yang juga pengerusi Hindraf.

Plaintif lain termasuk aktivis Dr Lim Teck Ghee, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Sabah Dr Jeffrey Kitingan dan peguam Siti Zabedah Kassim.

Mereka memohon supaya Mahkamah Tinggi mengeluarkan deklarasi yang Zakir ancaman kepada ketenteraman awam, moral, ekonomi, keharmonian sosial dan pendidikan negara.

Plantif juga memohon perintah mahkamah untuk menarik balik status Zakir sebagai penduduk tetap di Malaysia, secara serta-merta.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pada April yang pendakwah itu diberikan taraf penduduk tetap.

Dilaporkan kerajaan India menarik balik pasport Zakir, menjadikan dia orang tanpa negara.

India mengisytiharkan Islamic Research Foundation (IRF) yang diasaskan oleh Zakir sebagai organisasi tidak sah pada November dan mahkamah Mumbaik mengeluarkan waran tangkap tanpa jamin terhadapnya pada April.

Zakir didakwa menghasut untuk melakukan keganasan menerusi ucapan dan dakwahnya.

Bagaimanapun, di Malaysia, kumpulan pendesak hak Melayu, Perkasa sangat menyokong Zakir.

Presiden Perkasa Ibrahim Ali dan beberapa ahlinya berada di mahkamah Jalan Duta hari ini untuk mengikuti perbicaraan itu.

Terdahulu, Perkasa menerusi peguamnya Adnan Seman menghantar dua hujahan undang-undang dalam permohonan mereka untuk menjadi pencelah dalam tuntutan itu – Zakir tidak dinamakan sebagai pihak dalam tuntutan saman itu dan Seksyen 59A Akta Imigresen yang menyatakan mahkamah tidak akan campur tangan dalam keputusan dibuat oleh imigresen kecuali berlaku pelanggaran proses prosedur.

Ibrahim berkata Perkasa hanya mahu menegakkan keadilan iaitu tanggungjawab Muslim.

“Tidak pernah sekali pun, selepas melihat Zakir atau mendengar ceramahnya, yang dia mempromosikan ekstremisme.

“Dia pendakwah Islam yang dipandang tinggi di Malaysia, yang menerima anugerah Maal Hijrah daripada Agong dan anugerah lain dari negara lain termasuk Arab Saudi,” katanya.

Ibrahim berkata Putrajaya sepatutnya memfailkan permohonan membatalkan kes itu sebaik saja selepas ia difailkan pada Mac.

Katanya, masalah Zakir ialah antaranya dengan negara asalnya, India.

“Kita tidak mempersoalkan undang-undang di India, tetapi kita membela umat Islam yang ditindas di Kashmir,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

,